Bakat tempatan jadi taruhan utama Nafuzi di Piala ASEAN B-23

Bakat tempatan jadi taruhan utama Nafuzi di Piala ASEAN B-23


Ubaidullah Shamsul Fazili (kanan) dipanggil semula menyertai skuad B-23 selepas disenaraikan dalam skuad Harimau Malaya baru-baru ini. Foto: Malaysia NT (Gambar kecil: NAFUZI)

PENGENDALI skuad bawah 23 tahun (B-23) negara, Nafuzi Zain menegaskan hanya pemain tempatan akan menjadi sandaran utama dalam kempen Piala ASEAN B-23 2025 yang akan berlangsung di Jakarta pada Julai ini.

Menurutnya, tiada pemain warisan atau yang beraksi di luar negara sebaliknya keutamaan diberikan kepada pemain-pemain muda dari liga tempatan yang menunjukkan prestasi memberangsangkan.

“Kita tak ada pemain warisan atau beraksi di luar negara dan hanya memanggil pemain tempatan. Ramai bakat berpotensi di Liga Super.

“Kita melihat dari segi potensi pemain yang saya rasa bersesuai untuk dengan corak serta permainan kita dan sesetengah pemain pun pernah mewakili skuad B-23 dan B-19 sebelum ini.

“Pemain yang belum pernah mewakili pasukan sebelum ini turut akan diberi peluang untuk menunjukkan bakat mereka,” katanya.

Beliau berkata, barisan kejurulatihan turut menyambut kehadiran semula beberapa pemain muda yang sebelum ini dipanggil menyertai kem latihan skuad senior Harimau Malaya, termasuk Ubaidullah Shamsul Fazili dan Haqimi Azim Rosli.

Mengulas mengenai cabaran kumpulan, beliau menyifatkan saingan Kumpulan A yang turut dihuni Indonesia, Filipina dan Brunei sebagai cukup mencabar.

“Hanya kumpulan kita yang mempunyai empat pasukan, berbanding kumpulan lain yang hanya tiga. Jadi perlawanan pembukaan menentang Filipina sangat penting untuk menentukan rentak pasukan.

“Sudah tentu aksi menentang tuan rumah Indonesia dijangka menjadi halangan paling sukar, namun kita akan bersedia sebaik mungkin,” ujarnya.

Piala ASEAN B-23 merupakan pentas yang masih belum menyebelahi Malaysia apabila skuad negara sekadar mencatat pencapaian terbaik di tempat keempat pada edisi sulung dan tahun lalu.



Source link

OR

Scroll to Top