ferzalfie@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) memberi bayangan jelas tidak akan membida sebarang kejohanan utama selagi model perniagaan Persekutuan Badminton Dunia (BWF) tidak distruktur semula.
Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh menegaskan kos penganjuran yang semakin tinggi ketika ini dilihat membebankan negara tuan rumah dan perlu dinilai semula secara menyeluruh.
Menurutnya, badan induk seperti BAM bukan organisasi berorientasikan keuntungan, namun pada masa sama tidak wajar terus menanggung risiko kewangan yang besar.
“Kalau mahu kita membida kejohanan besar seperti Piala Thomas/Uber atau Piala Sudirman, perlu ada model perniagaan yang adil dan seimbang antara tuan rumah dan BWF.
“Kita bukan badan yang cari keuntungan, tetapi penganjuran juga tidak sepatutnya membebankan kewangan persatuan,” katanya.
Kenny turut mempersoalkan sama ada peluasan format dan pertambahan pasukan benar-benar mampu meningkatkan nilai komersial kejohanan.
“BWF perlu lihat dua perkara. Pertama, kenapa negara tidak membida. Kedua, bagaimana mahu kekalkan tarikan kejohanan itu sendiri.
“Tambah bilangan hari atau pasukan belum tentu membantu. Pada Piala Thomas dan Piala Sudirman, beberapa hari awal biasanya kurang sambutan kerana tiada perlawanan berprofil tinggi,” katanya.
Kelmarin, BWF mengumumkan pusingan akhir Piala Thomas/Uber serta Piala Sudirman akan diperluaskan daripada 16 kepada 24 pasukan sebagai sebahagian penstrukturan semula.
Kejohanan Dunia pula akan menggunakan format peringkat kumpulan diikuti aksi kalah mati, memastikan semua pemain beraksi sekurang-kurangnya dua perlawanan, sama seperti format Sukan Olimpik.
Sebagai rekod, kali terakhir Malaysia menjadi tuan rumah kejohanan utama adalah Piala Sudirman 2013.
Biarpun tidak membida kejohanan berpasukan utama buat masa ini, Malaysia masih kekal antara penganjur aktif dalam kalendar Jelajah Dunia BWF menerusi Terbuka Malaysia (Super 1000), Masters Malaysia (Super 500) dan Malaysia Super 100.
© New Straits Times Press (M) Bhd






