PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) memberi jaminan akan menghantar pasukan yang kuat ke Sukan SEA Thailand 2025.
Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh berkata, badan induk itu sudah mempunyai kriteria pemilihan pemain biarpun tanpa kelibat bekas pemenang pingat emas acara beregu lelaki Sukan SEA 2019, Aaron Chia-Soh Wooi Yik.
“Kami akan menentukan apa itu agak kuat nanti. (Sebelum ini, BAM biasanya akan menghantar pemain muda) tetapi saya rasa jawapan kepada soalan itu agak mudah kerana tidak banyak acara utama (tahun depan).
“Kami hanya ada temasya Sukan SEA dan acara kemuncak kami Piala Sudirman serta Kejuaraan Dunia di Paris.
“Dalam mesyuarat kami sebelum ini, kami membincangkan rancangan untuk Sukan Olimpik tahun depan sehingga 2028 (Los Angeles),” katanya selepas mesyuarat jawatankuasa kerja (JKK) di Majlis Sukan Negara di Bukit Jalil pada Khamis.
Bagaimanapun Kenny menegaskan badan induk itu masih belum memuktamadkan senarai pemain mahupun membincangkan secara terperinci sasaran pingat untuk temasya dwitahunan itu.
INFO
Skuad badminton negara kali terakhir memenangi emas Sukan SEA pada edisi 2021 di Hanoi.
Pada edisi 2023 di Phnom Penh, pemain negara hanya pulang dengan dua perak dan empat gangsa.