Subramaniam. Foto Bernama
PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) enggan membuang masa mahu segera merungkai isu rundingan kontrak bersama Pearly Tan-M Thinaah dalam tempoh seminggu.
Rundingan itu dijangka diadakan sejurus beregu wanita negara itu pulang dari Thailand minggu depan.
Timbalan Presiden I BAM, Datuk V Subramaniam berkata, satu pertemuan terakhir akan diatur bagi memaklumkan keputusan muktamad selepas pasangan itu masih belum menandatangani tawaran yang dikemukakan.
“Kita sudah berbincang dan buat tawaran, tetapi mereka masih tidak menandatangani, malah beberapa kali datang semula dengan angka berbeza.
“Kita tidak mahu pemain jadikan BAM sebagai tebusan. Kalau tidak tegas, ia akan jadi penyakit dalam sistem,” katanya selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) BAM di Bukit Kiara pada Sabtu.
Subramaniam berkata, semua pemain lain sudah menerima dan menyelesaikan rundingan dengan baik kecuali Pearly-Thinaah dan perkara itu turut dibawa ke mesyuarat Majlis BAM yang memutuskan agar tiada perubahan dibuat terhadap tawaran asal.
“Selepas ini, saya dan Datuk Kenny Goh (Setiausaha Agung) dengan kebenaran presiden (Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz) akan panggil mereka untuk perbincangan akhir. Mungkin minggu depan selepas mereka pulang dari Thailand,” jelasnya.
Terbuka Thailand yang berstatus Super 500 berlangsung di Patumwan bermula 13 hingga 18 Mei.
Subramaniam turut membayangkan kemungkinan jumlah pendapatan pemain perlu didedahkan kepada umum pada masa depan bagi mengelakkan salah faham, seiring dengan amalan sukan profesional antarabangsa.