BAM lantik Iskandar Zulkarnain sebagai jurulatih perseorangan

BAM lantik Iskandar Zulkarnain sebagai jurulatih perseorangan


Bekas pemain badminton negara, Iskandar Zulkarnain dilantik sebagai jurulatih perseorangan di BAM. Foto fail Bernama

BEKAS pemain perseorangan lelaki negara, Iskandar Zulkarnain Zainuddin kembali ke pangkuan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), kali ini sebagai jurulatih sektor perseorangan.

Pelantikan Iskandar Zulkarnain, 33, itu diumumkan Presiden BAM, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada sidang media di Akademi Badminton Malaysia pada Isnin.

“Iskandar Zulkarnain akan memulakan tugasnya pada 1 Oktober ini. Rundingan sedang berjalan dan akhirnya minggu lepas kita dapat memuktamadkan dan beliau akan pulang dari Ireland,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan BAM menawarkan Iskandar Zulkarnain untuk menyertai barisan kejurulatihan pemain kebangsaan.

Perkara itu disahkan Iskandar Zulkarnain sendiri, namun masih belum mengetahui jawatan yang bakal disandangnya.

Naib juara Masters Malaysia 2016 itu mula berkhidmat sebagai jurulatih sepenuh masa skuad badminton Ireland pada 2022 dan berjaya membawa pemain perseorangan lelaki negara berkenaan Nhat Nguyen layak beraksi pada Sukan Olimpik 2024 di Paris.

Sebelum itu, beliau menjadi rakan sepelatih kepada Nguyen sebagai persiapan pemain itu sebelum menghadapi kejohanan utama. – Bernama

 

 



Source link

OR

Scroll to Top