BAM sambut baik cadangan pemain negara, profesional berlatih bersama

BAM sambut baik cadangan pemain negara, profesional berlatih bersama


sukan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) akan mengadakan pertemuan dengan wakil program Road to Gold (RTG) untuk berbincang dan melihat hala tuju yang dikemukakan itu dengan lebih terperinci iaitu latihan bersama antara pemain negara dan pemain profesional.

Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh berkata, usaha murni itu harus disokong kerana ia akan memberi kebaikan kepada pemain malah sebelum ini, pihaknya juga pernah melakukan perkara itu.

Namun, Kenny memaklumkan sebelum perkara itu dilaksana, satu perbincangan antara barisan jurulatih, khususnya pengarah beregu, Rexy Mainaky serta penyelaras RTG, Datuk Stuart Ramalingam perlu mencapai kata sepakat dari segi struktur, kekerapan dan mekanisme agar apabila bermula nanti, tiada isu yang berbangkit.

“Ini bukan perkara baharu kerana sebelum ini kami pernah mengadakan sesi latihan bersama, termasuk ketika pandemik COVID-19. Malah selepas itu, kami juga menjemput pemain profesional untuk berlatih dengan kami.

“Saya baru menerima maklumat itu semalam, jadi kami perlu melihat dengan lebih terperinci apa yang dimaksudkan dengan latihan bersama,” katanya ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM), hari ini.

Pada masa sama, BAM sentiasa terbuka untuk bekerjasama demi memastikan setiap atlet negara dapat meningkatkan prestasi mereka, sekali gus tampil sebagai calon juara dalam setiap kejohanan yang disertai.

“Saya percaya apa yang diumumkan oleh menteri adalah untuk kebaikan badminton Malaysia dan kita perlu memastikan perkara itu dilakukan dengan sebaik mungkin,” katanya.

Semalam, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh memaklumkan RTG dan BAM kini berada pada fasa akhir perbincangan untuk mewujudkan latihan bersama bagi memastikan prestasi atlet di bawah jagaan BAM dan pemain profesional benar-benar berada pada tahap tertinggi.

Sebagai rekod, atlet BAM yang berada dalam RTG ketika ini ialah beregu lelaki nombor dua dunia, Aaron Chia–Soh Wooi Yik, Man Wei Chong–Tee Kai Wun (lima dunia), beregu wanita, Pearly Tan–M Thinaah (dua dunia) dan beregu campuran, Chen Tang Jie–Toh Ee Wei (empat dunia).

Sementara itu, atlet profesional pula termasuk beregu lelaki, Goh Sze Fei–Nur Izzuddin Rumsani (empat dunia) dan beregu campuran yang juga suami isteri, Goh Soon Huat–Shevon Lai (sembilan dunia).

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top