BAM tidak letak tempoh masa buat Pearly-Thinaah

BAM tidak letak tempoh masa buat Pearly-Thinaah


PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) masih mengharapkan beregu wanita nombor negara, Pearly Tan-M Thinaah terus kekal bersama badan induk itu.

Pemangku Presiden BAM, Datuk V Subramaniam menegaskan perbincangan berkenaan kontrak kedua-dua pemain itu masih berlangsung, mengakui pasangan nombor lima dunia itu belum menandatangani kontrak baharu.

“Kami juga tidak meletakkan tempoh masa kepada Pearly-Thinaah bagi membuat keputusan berhubung kontrak baharu kerana mahu memberikan masa secukupnya kepada mereka untuk melakukan pertimbangan.

“Ya, memang saya tahu terdapat beberapa laporan mengenai perkara itu dan memang betul mereka belum menandatangani kontrak baharu. Kami sedang berbincang dan pasti ada masa untuk diselesaikan.

“Saya tidak mahu cakap mengenai jangka masa kerana kami juga beri peluang kepada pemain untuk berfikir. Kadang-kadang pemain ada penasihat, yang penting mereka masih ada bersama kami,” katanya selepas sidang akhbar Kejohanan Badminton Malaysia Masters 2025 di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara pada Rabu.

BAM sebelum ini mengesahkan Pearly-Thinaah masih sebahagian daripada keluarga badan induk itu, di sebalik spekulasi yang menyatakan mereka akan meninggalkan badan induk tersebut.

Malah, Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh, menegaskan bahawa pihaknya masih dalam perbincangan dengan mereka berhubung kontrak yang telah tamat pada Disember lalu.

Pada masa sama, Subramaniam juga menjelaskan bahawa badan induk itu sudah pun membuat pelaburan besar kepada semua pemain dengan harapan mereka terus menabur bakti buat negara.

“BAM sudah membuat pelaburan ke atas pemain sejak dari remaja. Di peringkat negeri, BAM juga yang salurkan peruntukan bagi membangunkan pemain kemudian diteruskan BAM sebaik mereka datang ke sini.

“Harapan kami adalah supaya mereka terus bekerja keras dan memenangi pingat untuk negara. Kami juga menjaga pemain-pemain ini dengan baik dan semua orang tahu mengenainya,” katanya.



Source link

OR

Scroll to Top