BAMTC 2025: Pengajaran berguna buat Malaysia

BAMTC 2025: Pengajaran berguna buat Malaysia


MALAYSIA meraih pengalaman berharga selepas misi Kejohanan Badminton Berpasukan Campuran Asia (BAMTC) 2025 di China tersekat di peringkat kumpulan.

Skuad negara gagal mara ke suku akhir setelah ditunjukkan jalan keluar selepas tumpas 2-3 kepada Indonesia di Pusat Sukan Qingdao Conson pada Khamis.

Ia merupakan kekalahan kedua pasukan negara setelah kalah menerusi jumlah mata yang sama di tangan Hong Kong dalam aksi pembuka tirai Kumpulan B pada Rabu.

Jurulatih perseorangan lelaki, K Yogendran tetap berpuas hati dengan prestasi yang diperagakan para pemain kerana mereka sudah memberikan yang terbaik.

Bagaimanapun katanya, masih banyak kelemahan yang perlu diperbaiki untuk kembali muncul sebagai pemenang dalam kejohanan akan datang termasuk Piala Sudirman di Xiamen, China pada Mei depan.

“Kalah menang adat permainan. Mesti ada kalah, mesti ada menang.

“Memang kita tidak gembira sebab kalah (gagal ke suku akhir), tetapi kita tidak boleh berasa sangat kecewa sehingga tidak boleh buat bangkit semula,” katanya.

Beliau turut menjelaskan mengenai aspek yang perlu diberi tumpuan bagi memantapkan lagi skuad negara.

“Persediaan yang kita perlu buat ialah meningkatkan lagi semangat berpasukan. Malah latihan secara bersama sebagai satu skuad juga perlu diperbanyakkan lagi,” ujar Yogendran.

Keputusan tersebut menyaksikan Malaysia terlepas slot automatik ke Piala Sudirman kerana hanya empat pasukan terbaik BAMTC layak ke kejohanan tersebut China pada Mei depan.

Malaysia bagaimanapun tetap akan bersaing di Xiamen berdasarkan kedudukan ranking kelima dunia.



Source link

OR

Scroll to Top