Banduan diberi 15 minit lepas rindu buat yang tersayang

Banduan diberi 15 minit lepas rindu buat yang tersayang



am@hmetro.com.my

Kuantan: “Masa 15 minit yang diberikan cukup bermakna apabila dapat bertemu mak dan kakak di sebalik cermin, rindu kepada mereka terubat pada Aidilfitri kali ini,” kata banduan yang hanya mahu dikenali sebagai Aidil (bukan nama sebenar).

Aidil, 33, yang berasal dari Felda Lepar Hilir, dekat sini, antara lebih 300 banduan Penjara Penor, di sini, yang dibenarkan bertemu keluarga masing-masing pada program perjumpaan Hari Raya Aidilfitri selama dua hari bermula hari ini.

Menurut Aidil, dia dikenakan hukuman 15 tahun penjara dan 10 sebatan kerana kesalahan memiliki dadah pada 2019.

Katanya, ini Aidilfitri keenam disambutnya di sebalik tirai besi.

“Saya reda dengan hukuman ini. Saya terlalu ikutkan hati selain mengejar kemewahan sehingga akhirnya saya dihumban ke penjara.

“Saya ditahan selepas hanya dua bulan terbabit sebagai pengedar dadah. Saya menyesal dan ingin mulakan hidup baru sebaik dibebaskan pada 24 Januari 2029,” kata anak keenam daripada 12 beradik itu.

Bagi Samsul bukan nama sebenar, 34, dia bersyukur apabila berpeluang bertemu ibu, bapa dan isteri, termasuk anak lelaki berusia tiga tahun.

Tempoh 15 minit itu digunakan sebaiknya untuk melepaskan rindu pada mereka walaupun di sebalik cermin.

“Saya gembira dapat bertemu insan tersayang pada Aidilfitri kali ini, peluang keemasan ini begitu bermakna buat banduan seperti saya yang menerima hukuman lima tahun penjara dan sekali sebatan kerana kesalahan menagih dadah.

“Saya sudah 18 bulan merengkok di Penjara Penor dan akan bebas pada 7 Mac 2027. Ini hukuman yang menginsafkan, saya tidak mahu mengulanginya,” katanya yang berasal dari Felda Chini, Pekan.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Penjara Penor Penguasa Penjara (PP) Mohamad Hasnor Abd Hamid berkata, setiap keluarga dibenarkan berjumpa dengan banduan menerusi telefon antara 10 hingga 15 minit sahaja berbanding 30 minit pada hari biasa.

Menurutnya, dijangka lebih 300 keluarga datang untuk bertemu banduan pada tahun ini sempena Aidilfitri. Mereka datang secara tempahan dan juga yang datang terus hari ini.

“Hanya lima ahli keluarga dibenarkan bertemu banduan. Penjara Penor turut menyediakan kuih raya untuk keluarga berikan kepada banduan melalui tiga pakej hamper berharga RM50, RM100 dan RM150.

“Setiap pakej mengandungi tiga hingga lapan jenis kuih raya. Tujuan program perjumpaan Aidilfitri diadakan ialah bagi memberi peluang kepada keluarga melepaskan rindu pada banduan selain menjadi sokongan pada banduan serta bukti golongan terbabit tidak disisih keluarga,” katanya.

Tamat

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top