Bangga! Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim syukur nama Malaysia harum di seluruh dunia susulan kejayaan menganjurkan Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 yang menjadi tumpuan kuasa besar global.
Menurut beliau, kejayaan Malaysia selaku Pengerusi ASEAN menghimpunkan pemimpin utama dunia termasuk Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump dan Perdana Menteri China, Li Qiang membuktikan kemampuan negara mengurus diplomasi antarabangsa secara berhemah dan berprinsip.
“Seluruh dunia melihat Malaysia bagaimana kita boleh menguruskan Donald Trump, esoknya dengan Li Qiang.
“Hari ini kita tandatangan (perjanjian) dengan Trump, esok tandatangan dengan Li Qiang. Kemudian sepakat negara ASEAN bawa Brazil.
“Brazil itu musuh betul dengan Donald Trump. Kita panggil dia. Ramaphosa (Presiden Afrika Selatan) disergah oleh Trump masa pertemuan. Kita panggil dia.
“Saya syukur, saya anak Malaysia. Saya bangga kerana Malaysia harum namanya sekarang,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Penutup Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 di sini hari ini.

PM Anwar syukur nama Malaysia harum
Tambah beliau, kehadiran pemimpin negara kuasa besar seperti Trump dan Li Qiang membuktikan Malaysia tidak tunduk kepada mana-mana pihak, sebaliknya kekal bebas dalam menentukan hala tuju hubungan luar negara.
“Kalau kita takut dengan Amerika Syarikat, mana mungkin kita tandatangan dengan China sehari selepas Presiden Trump pulang. Tak mungkin,” ujarnya.

Beliau turut mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada semua pihak yang bertungkus-lumus memastikan sidang kemuncak tersebut berjalan lancar dan teratur.
Dalam masa sama, Perdana Menteri menegaskan keputusan Malaysia menjemput Donald Trump ke Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 adalah cerminan dasar luar negara yang sederhana, terbuka dan berprinsip.
“Ada yang tanya, kenapa jemput Donald Trump? Patut jangan jemput, katanya dia dilaknat Allah. Ada pula kata, siapa yang sokong dia pun sama.
“Inilah negara kita, cepat menghukum tanpa tahu fakta. Ada yang kritik gambar saya beramah dengan isteri Perdana Menteri Marcos kononnya berpegangan tangan, cium. Padahal tidak pun. Jangan terus hukum tanpa tahu hal sebenar,” katanya.

Anwar berkata, Malaysia tidak boleh terperangkap dalam pandangan sempit atau prejudis terhadap mana-mana pemimpin dunia kerana hubungan antarabangsa perlu diurus dengan kebijaksanaan berpaksikan kepentingan negara.
Beliau menegaskan, prinsip centrality yang dipegang Malaysia membolehkan negara berkawan dengan semua pihak termasuk kuasa besar yang berbeza pandangan politik dan ekonomi.
“Malaysia mempertahankan sikap sederhana. Centrality bermakna kita boleh berhubung dan berkawan dengan semua.
“Ada yang bertanya, mengapa rapat dengan China? Ya, tapi kita juga menjemput dan berbaik dengan AS. Begitu juga dengan Brazil dan Afrika Selatan walaupun tidak disenangi sesetengah pihak.
“Hubungan dengan Eropah juga penting kerana perdagangan dan pelaburan mereka besar,”ujar beliau.
Menurut beliau, dalam setiap perbincangan dengan negara-negara besar, Malaysia tetap menjaga kepentingan sendiri termasuk isu strategik seperti sumber nadir bumi, cip semikonduktor dan keselamatan maritim.
“Mereka mahu bincang soal rare earth, semiconductor chips dan maritim. Kita bersetuju untuk berunding tapi itu tidak menghalang kita daripada menjalin hubungan baik dengan China atau negara lain. Kita berunding bukan menyerah,” tegasnya.
Artikel lain: PM Anwar puji PBB pertahan prinsip kerjasama global -“Diharap terus menjadi suara hati”
Kredit Foto: Shahnaz Fazlie
Anwar berkata, Malaysia kini menjadi tumpuan dunia kerana berjaya mengimbangi hubungan diplomatik antara kuasa besar secara matang dan berhemah.
“Hari ini kita tandatangan perjanjian dengan Trump, esoknya dengan Li Qiang, kemudian bersama Brazil dan Afrika Selatan iaitu dua negara yang berbeza pendirian dengan AS.
“Dunia perhati bagaimana Malaysia mengurus semua ini dengan tenang dan berprinsip,” katanya.
Sumber: FB Anwar Ibrahim






