asyikin.mat@hmetro.com.my
PESARA tentera ini membelanjakan hampir RM100,000 untuk mentransformasikan rumah pusaka tradisional Melayu dua tingkat milik arwah ibu dan bapanya.
Inisiatif ini dilakukan kerana mahu menampilkan wajah baharu terhadap rumah pusaka berusia 52 tahun itu.
Kushaili Japar, 45, berkata, hampir 70 peratus perubahan dilakukan terhadap rumah itu yang merangkumi penukaran keseluruhan bahagian dinding kepada dinding bata merah, bumbung dan bahagian dapur.
“Saya memilih tidak memplaster batu bata merah ini kerana mahu menjadikan rumah itu tampil lebih tradisional dan sarat dengan nilai estetika.
“Saya tambah elemen ini (tradisional dan nilai estetika) dengan memilih perabot berasaskan kayu jati sebagai perhiasan serta beberapa barangan antik lain seperti tempayan dan pelita minyak tanah lama,” katanya.
Menurutnya, pengubahsuaian rumah itu dilakukan pada 2020 apabila menetap di rumah berkenaan selepas berhijrah dari Johor.
“Saya tinggal di Johor selama 22 tahun kerana bertugas di sana sebagai kakitangan awam.
“Selepas bersara, kembali pulang ke negeri kelahiran dan menetap di kampung halaman di Kabong, Sarawak,” katanya.
Katanya lagi, perancangan awalnya mahu membina rumah lain tetapi arwah ibu memintanya menduduki rumah berkenaan dan membuat pengubahsuaian pada bahagian yang perlu.
“Lagipun rumah ini mempunyai banyak kenangan kerana saya dan adik beradik membesar di sini.
“Jika rumah ini tidak dijaga, mungkin kenangan ketika kecil akan hilang begitu sahaja,” katanya.
Kushaili berkata, rumah itu dibina arwah datuknya secara tradisional bersama dengan tukang rumah pada waktu itu.
“Ada bahagian permukaan papan dan tiang rumah ini tidak kemas kerana kerja kekemasan dilakukan secara manual menggunakan kapak serta gergaji sahaja.
“Pada masa itu juga penggunaan mesin sangat terhad. Walaupun ada kekangan ini (mesin) tetapi kesungguhan generasi dahulu membina rumah begitu mengagumkan,” katanya.
Katanya, kebanyakan rumah tradisional kayu di Sarawak dibina menggunakan kayu belian.
“Ini kerana kayu ini berkualiti tinggi dan tahan lama serta tidak mudah diserang serangga perosak.
“Setakat ini tiada penjagaan dan penyelenggaraan khusus rumah ini kerana kelebihan dibina menggunakan kayu belian.
“Berbanding rumah tradisional Melayu di Semenanjung banyak menggunakan kayu meranti dan cengal,” katanya.
Menurutnya, rumah itu pada asalnya adalah setingkat iaitu jenis rumah atas. Tetapi tiangnya dinaikkan hingga membolehkan membina rumah di bahagian bawah yang menjadi kediaman ini dua tingkat.
“Saya seorang peminat rumah tradisional dan sebab itu memilih untuk mengekalkan rumah pusaka arwah ibu serta ayah.
“Satu lagi, rumah tradisional Melayu semakin pupus dan mereka yang masih memilikinya perlu menjaga kerana ianya adalah sebahagian daripada budaya serta warisan bangsa,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd