am@hmetro.com.my
Kota Kinabalu: Sebanyak 56 laluan terjejas akibat hujan lebat berterusan di Sabah dengan tujuh daripadanya tidak dapat dilalui sebarang jenis kenderaan, susulan banjir dan tanah runtuh.
Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata, laluan terbabit ialah di Kota Marudu, Kota Belud, Telupid, Pitas dan Keningau.
Katanya, di Kota Marudu, laluan yang ditutup ialah di Kilometer (KM)0.0-KM 0.5 Jalan Rakit dan KM0.0- KM0.9 Jalan Damai akibat dinaiki air, manakala KM6.4 Jalan Marak Parak ditutup akibat tanah runtuh.
“Di Kota Belud, laluan yang ditutup KM2.8-KM3.0 Jalan Sumbilingon-Pituru Laut.
“Satu cerun runtuh pula dilaporkan berlaku di KM1.1 Jalan Telupid-Tongod di Telupid menyebabkan laluan berkenaan tidak dapat dilalui semua jenis kenderaan.
“Bagaimanapun, ada jalan alternatif iaitu di Jalan Tapang-Singgahmata,” katanya, di sini, hari ini.
Beliau yang juga Menteri Kerja Raya berkata, satu laluan ditutup di Pitas iaitu KM4.4 Jalan Pinapak, manakala di Tenom, KM3.4 Jalan Tenom Batu 28 Mempikit akibat tebing runtuh.
Shahelmey berkata, sebanyak 49 laluan lagi dikenal pasti terjejas akibat banjir dan tanah runtuh kecil di seluruh negeri, namun masih dibuka dan boleh dilalui kenderaan.
“Laluan yang paling banyak terjejas ialah di Kota Marudu iaitu sebanyak 16 laluan, diikuti Kota Belud dan Beluran, masing-masing sebanyak sembilan laluan.
“Selebihnya lima laluan di Kinabatangan, masing-masing tiga laluan di Lahad Datu, Ranau, Keningau dan Pitas, dua laluan di Telupud serta masing-masing satu laluan di Beaufort, Sandakan dan Paitan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd