Banjir bawa bersama tompokan minyak, kediaman sukar dicuci

Banjir bawa bersama tompokan minyak, kediaman sukar dicuci



am@hmetro.com.my

Ipoh: Penduduk Persiaran 10 Taman Arena Kepayang Putra di sini, berdepan kesukaran membersihkan kediaman masing-masing, memandangkan tompokan minyak yang dibawa banjir sukar dibersihkan.

Seorang penduduk, Ahmad Fahmi Rashid Redza, 35, berkata, kesan minyak masih ada pada sebahagian besar kawasan rumahnya biarpun kediamannya itu sudah dibersihkan daripada lumpur serta sampah lain yang dibawa banjir.

Katanya, walaupun tidak berbau, banjir yang membawa bersama minyak seakan tompokan lemak menyebabkan badan mengalami kegatalan.

“Sampah yang dibawa oleh banjir itu biasa, namun banjir kali ini kesan minyak masih tinggal dengan sangat ketara biarpun kesan lumpur sudah dibersihkan.

“Air banjir menyebabkan badan anak berasa gatal. Saya percaya minyak ini berpunca dari Sungai Kinta yang terletak kira-kira 70 meter dari sini,” katanya ketika ditemui pemberita di kediamannya hari ini.

Menceritakan detik kejadian, bapa tiga anak itu berkata hujan tidak lebat namun berterusan sejak petang sehari sebelumnya, dengan paras air naik setinggi lebih 1 meter sekitar jam 5 petang semalam (Ahad).

“Pada jam 5 petang air sudah naik tinggi. Tidak timbul rasa jijik walaupun terpaksa meredah air banjir bercampur minyak sebab saya lebih fokus memikirkan keselamatan anak-anak dan redah banjir untuk berpindah.

“Namun, saya berpatah balik bersama isteri dan tiga anak kerana rasa tidak selamat dan menunggu pasukan penyelamat,” katanya.

Sementara itu, suri rumah, Kamariah Dilip Muhamad, 41, berkata, anak bongsunya berusia 12 tahun mengalami kesan gatal ketara antaranya di tangan dan kaki susulan air banjir di kawasan berkenaan.

Katanya, air banjir dilihat sangat kotor dengan kesan minyak dan sampah terapung.

Tetapi, katanya, dia tetap meredah banjir bersama anak lelaki sulungnya berusia 19 tahun kerana khuatir keadaan bertambah teruk.

“Saya dan anak sulung meredah banjir dalam keadaan kaki ayam kerana banyak kasut sudah hanyut.

“Sementara anak bongsu bersama datuk dan nenek menaiki bot pasukan penyelamat,” katanya dengan menyifatkan ini pengalaman pertama dia berdepan banjir sejak tinggal di situ 20 tahun lalu.

Semalam, tular di media sosial gambar serta video mengenai penduduk dan pasukan penyelamat yang mengharungi air banjir dipenuhi sampah dan berminyak di Arena Kepayang Putra, Fair Park, di sini.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top