Banjir di selatan Thailand: 9 maut, 13,000 kehilangan tempat tinggal

Banjir di selatan Thailand: 9 maut, 13,000 kehilangan tempat tinggal


Bangkok: Banjir susulan hujan lebat di selatan Thailand mengorbankan sembilan orang dan menyebabkan lebih 13,000 kehilangan tempat tinggal, kata pegawai Sabtu, ketika pasukan penyelamat menggunakan bot dan jet ski berusaha mencapai penduduk yang terkandas.

Rakaman media tempatan menunjukkan penduduk mengharungi air berlumpur pada paras dada mereka, dan kereta ditenggelami air di jalan raya.

“Banjir di lapan wilayah di selatan Thailand menjejaskan 553,921 isi rumah dan meragut sembilan nyawa, mendorong agensi untuk menggerakkan bantuan segera,” kata agensi bencana negara itu di laman Facebook rasminya.

Lebih 13,000 orang terpaksa meninggalkan rumah mereka, dengan tempat perlindungan sementara didirikan di sekolah dan kuil, tambahnya.

Nampa, seorang penduduk wilayah pesisir pantai Songkhla memberitahu penyiar negara, Thai PBS, bahawa dia bimbang dengan bekalan makanan yang semakin berkurangan.

“Kami baik-baik saja sekarang, tetapi saya tidak pasti berapa lama kami boleh kekal dalam keadaan ini,” katanya.

Dua hospital di wilayah Pattani berhampiran menggantung operasi bagi mengelakkan air banjir daripada merosakkan kemudahan perubatan.

Jabatan Meteorologi Thailand memberi amaran bahawa “hujan yang sangat lebat” boleh terus menjejaskan beberapa kawasan di selatan negara itu hingga minggu depan.

Kerajaan mengerahkan pasukan penyelamat untuk membantu penduduk yang terjejas dan menetapkan 50 juta baht (kira-kira RM8 juta) sebagai bantuan banjir bagi setiap wilayah.

Perdana Menteri Thailand Paetongtarn Shinawatra menerusi X pada Jumaat berkata, matlamatnya adalah untuk “memulihkan keadaan normal secepat mungkin.”

Banjir di seluruh Thailand pada 2011 menyebabkan kematian lebih 500 orang dan merosakkan berjuta-juta rumah.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top