Paiporta, Sepanyol: Pasukan penyelamat pada Jumaat berkata, angka kematian akibat banjir terburuk di Sepanyol ‘dalam satu generasi’ meningkat kepada 205 orang, ketika lebih ramai tentera dikerahkan mencari mangsa terselamat.
Banjir yang menghanyutkan kenderaan, meruntuhkan jambatan dan menenggelamkan bandar dengan lumpur sejak Selasa lalu, adalah bencana terburuk melanda negara Eropah itu dalam beberapa dekad.
Organisasi menyelaraskan perkhidmatan kecemasan di wilayah Valencia di timur negara itu yang paling teruk terjejas akibat banjir berkenaan, mengesahkan 202 orang meninggal dunia.
Pegawai wilayah Castilla-La Mancha dan Andalusia di selatan pula mengumumkan tiga kematian di kawasan mereka.
Pasukan penyelamat yang dilengkapi dengan dron dan anjing pengesan meredah air dan menggeledah runtuhan untuk mencari puluhan orang yang dipercayai masih hilang oleh pihak berkuasa.
Kerajaan mengerahkan 500 lagi anggota tentera ke kawasan terjejas untuk menyokong 1,200 anggota yang berada di lokasi untuk tugas mencari, menyelamat dan logistik, manakala 500 lagi akan ditambah pada Sabtu.
Beberapa kawasan yang terputus hubungan masih kekurangan bekalan air, makanan atau elektrik selama tiga hari, selepas banjir itu. Banyak jalan serta laluan kereta api masih tidak dapat diakses.
Di bandar Paiporta, Valencia, beberapa penduduk mengadu bantuan yang tiba terlalu lambat dan menyebabkan usaha sukarelawan menjadi lebih sukar.
“Tidak cukup anggota bomba dan penyodok belum tiba,” kata ahli farmasi, Paco Clemente, 33, kepada AFP sambil membantu membersihkan lumpur dari rumah rakannya.
Beribu-ribu orang masih terputus daripada rangkaian elektrik dan liputan telekomunikasi.
Dengan beberapa tempat menunjukkan tanda-tanda kekacauan, menteri kerajaan, Angel Vitor Torres pada Khamis berjanji untuk mengambil tindakan tegas terhadap kegiatan rompakan.
Pusat sukan dan sekolah antara tempat yang digunakan untuk pengagihan makanan kecemasan, kata pemimpin wilayah Valencia, Carlos Mazon kepada wartawan.
Mahkamah di bandar Valencia diubah menjadi bilik mayat, di mana petugas kesihatan memakai pakaian khas membawa pengusung yang ditutupi dengan kain putih.
© New Straits Times Press (M) Bhd