Banjir di Sungai Siput terburuk selepas 2014 – Penduduk

Banjir di Sungai Siput terburuk selepas 2014 – Penduduk


SUNGAI SIPUT – Penduduk Kampung Lintang, di sini, menyifatkan kejadian banjir yang melanda kediaman mereka pada Ahad antara yang paling buruk pernah berlaku selepas kali terakhir rumah mereka ditenggelami air pada 2014.

Malah kejadian berlaku ketika penduduk sedang nyenyak tidur menyebabkan mereka hanya sempat mencapai dokumen penting selain bergegas meredah air menyelamatkan diri.

Bagi Khadijah Azna Ahmad, 41, dia mula menyedari kediamannya dinaiki air antara jam 5 hingga 6 pagi dan kejadian berlaku begitu pantas.

Suri rumah itu berkata, dia bersama keluarganya terpaksa meranduk air banjir setinggi paras pinggang dan berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang disediakan untuk mangsa banjir.

“Saya menetap di Kampung Lintang ini sudah 21 tahun dan banjir kali ini boleh dianggap lagi besar daripada yang berlaku pada 2014.

“Air naik hingga paras pinggang dan kami hanya sempat selamatkan dokumen peribadi, barang seperti peralatan elektrik tidak dapat diselamatkan,” katanya ketika ditemui pemberita, di sini, pada Ahad.

Seorang lagi penduduk Jasni Ahmad, 53, berkata, sudah hampir 10 tahun penduduk Kampung Lintang tidak berhadapan dengan banjir yang menenggelamkan separuh kediaman mereka.

Menurut penoreh getah itu, sama seperti penduduk lain dia sedang nyenyak tidur sebelum menyedari air memasuki rumahnya dengan laju.

“Kawasan ini memang kerap dinaiki air tetapi tidaklah seteruk hari ini dan ia seperti mengulangi kejadian banjir pada 2014,” katanya.

Jasni berkata, dia berharap agar pihak berwajib dapat mengambil tindakan sewajarnya selepas ini bagi mengelak kejadian sama berulang.

“Saya berharap kalau boleh selepas ini koreklah semula sungai di kampung ini kerana ia semakin cetek dan kali terakhir dikorek beberapa tahun lalu.

“Lepas banjir 2014 ada korek beberapa kali tapi sekarang tiada dan kini kami berhadapan dengan banjir yang teruk,” katanya.

Sementara itu, jumlah mangsa banjir di Perak terus meningkat selepas empat buah lagi Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di buka di daerah Kuala Kangsar setakat jam 6 petang pada Ahad.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Perak dalam satu kenyataan berkata, proses pemindahan ke semua mangsa banjir di empat PPS yang dibuka itu masih berjalan.

Menurut JPBN Perak, empat PPS yang dibuka melibatkan Dewan Orang Ramai (DOR) Kampung Baru Lintang, DOR Sekolah Kebangsaan (SK) Lasah, Dewan Pandak Hamzah, Pusat Sehenti Orang Asli (OAOSC) Bawong dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) RLKT Lasah sekitar Sungai Siput. – MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top