Banjir di tujuh negeri makin pulih

Banjir di tujuh negeri makin pulih


essabuyamin@bh.com.my

Kuala Lumpur : Seramai 991 mangsa banjir daripada 259 keluarga masih berlindung di 18 pusat pemindahan sementara (PPS) yang beroperasi di tujuh negeri, setakat jam 1 pagi, hari ini.

Berdasarkan portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), jumlah itu menunjukkan penurunan berbanding 1,539 mangsa yang direkodkan pagi semalam.

Sebanyak tujuh PPS masih beroperasi di Perak, manakala empat lagi di Terengganu, diikuti Selangor dan Sarawak masing-masing dua serta Kelantan, Pahang dan Sabah masing-masing satu.

Keseluruhan mangsa banjir membabitkan 329 lelaki dan 309 perempuan, manakala 329 kanak-kanak, 24 bayi, 124 warga emas dan 25 orang kurang upaya (OKU).

Dalam pada itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di empat negeri sehingga 9 pagi hari ini.

Menurut kenyataan MetMalaysia, cuaca buruk itu dijangka melanda di seluruh Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Putrajaya, Perak (Manjung, Perak Tengah, Bagan Datuk dan Hilir Perak) dan Sarawak: Kapit (Belaga) dan Miri (Telang Usan).

“Amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mm/jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.

“Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top