Alor Setar: Jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Kedah terus berkurangan susulan keadaan yang semakin pulih, dengan hanya 107 orang daripada 32 keluarga masih berlindung setakat pagi ini.
Timbalan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah Mejar (PA) Muhammad Suhaimi Mohd Zain berkata, semua mangsa ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Langgar di sini, yang dibuka sejak Ahad lalu.
“Mangsa membabitkan penduduk Kampung Alor Raja, Makam Diraja, Limbong, Alor Setol, Pondok Haji Ahmad, Pokok Asam, Tanjung Inggeris, Alor Besar, Pagar Air dan Pondok Syeikh di Mukim Langgar/Limbong,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, paras air di Sungai Janing, Padang Terap mencatat bacaan 26.21 meter (m), melebihi paras amaran 26 m, manakala Sungai Pendang, Pendang merekodkan bacaan 2.34m, melebihi paras waspada 2.3 m.
© New Straits Times Press (M) Bhd