Melaka: Jumlah mangsa banjir di Alor Gajah meningkat kepada 360 orang membabitkan 109 keluarga setakat 8 pagi ini, berbanding 248 orang daripada 48 keluarga malam tadi.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Melaka Leftenan Kolonel (PA) Kamarulsyah Muslim berkata, kesemua mangsa terbabit ditempatkan di enam pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah berkenaan.
Beliau berkata, PPS Balai Raya Paya Lebar menempatkan 61 mangsa daripada 13 keluarga manakala PPS Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Masjid Tanah, sebanyak 13 mangsa daripada empat keluarga berada di sana.
“Di PPS Balai Raya Ayer Paabas, 13 mangsa ditempatkan di PPS berkenaan membabitkan lapan keluarga sementara di PPS Sekolah Sungai Jernih, sebanyak 15 mangsa daripada tiga keluarga ditempatkan di situ.
“Jumlah mangsa yang ditempatkan di PPS Sekolah Rendah Agama Jabatan Agama Islam Melaka Ar-Rasyidin adalah sebanyak 163 orang membabitkan 59 keluarga, manakala sebanyak 95 mangsa daripada 22 keluarga ditempatkan di Japerun Kuala Linggi,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata, PPS Balai Raya Kampung Ramuan China Besar pula ditutup pada 9 malam tadi.
Katanya, 21 kawasan di daerah itu terjejas akibat bencana.
© New Straits Times Press (M) Bhd