KEMAMAN : Seramai 43 penghuni asrama dan kuarters guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Kubu, Kijal, dekat sini diselamatkan selepas sekolah itu dinaiki air, hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Cheneh, Mohd. Hafiezul Mohamad berkata, seramai 10 anggota bomba dan polis ke lokasi kejadian untuk memindahkan mangsa kira-kira pukul 7 pagi.
“Seorang guru menghubungi pasukan penyelamat berikutan mereka tidak dapat keluar selepas kawasan sekolah dan asrama sekolah itu dinaiki air.
“Kita membawa keluar seramai 29 pelajar dan 14 guru serta pasangan bersama empat kanak-kanak dengan menggunakan dua buah bot,” katanya hari ini.
Mohd Hafiezul berkata, kira-kira 500 meter laluan masuk ke sekolah itu yang berada di kawasan ladang sawit ditenggelami air dan tidak dapat dilalui oleh kenderaan ringan,” katanya, – UTUSAN