Bank Dunia naikkan unjuran KDNK Malaysia pada 4.4 peratus

Bank Dunia naikkan unjuran KDNK Malaysia pada 4.4 peratus


KUALA LUMPUR: Bank Dunia menaikkan unjuran ekonomi Malaysia pada 4.4 peratus tahun ini, berbanding anggaran awal 4.1 peratus.

Ketua Ekonomi Bank Dunia untuk Malaysia, Dr. Apurva Sanghi berkata, pertumbuhan ini akan terus dipacu oleh permintaan domestik yang disokong keadaan pasaran buruh yang kukuh serta pelaksanaan langkah sokongan pendapatan.

“Bagaimanapun, prospek tersebut tidak terlepas daripada risiko penurunan, termasuk ketidaktentuan dasar perdagangan global dan tekanan inflasi yang boleh menjejaskan permintaan dalam negara.

“Selain itu, konflik berpanjangan di Asia Barat dilihat sebagai risiko yang lebih kompleks kepada ekonomi Malaysia,” katanya ketika pembentangan Laporan Pemantau Ekonomi Malaysia (MEM) April 2026 di Sasana Kijang di sini semalam.

Sebelum ini, Bank Dunia menaikkan unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia bagi 2025 berikutan permintaan luar yang lebih berdaya tahan daripada jangkaan.

Pada tahun lalu, ekonomi Malaysia berkembang 5.2 peratus didorong oleh permintaan dalam negeri yang kukuh serta eksport yang menggalakkan.

Dalam pada itu, beliau berkata, Malaysia berdepan kemungkinan peningkatan kos tenaga serta beban subsidi bahan api yang lebih tinggi sekiranya harga minyak global melonjak.

“Namun, kedudukan negara sebagai pengeksport bersih gas berpotensi memberikan sedikit imbangan dari segi hasil,” katanya.

Dari sudut harga, inflasi keseluruhan dijangka kekal sederhana pada kadar 2.3 peratus pada 2026, bergantung kepada pergerakan harga minyak global dan kesannya terhadap subsidi bahan api.

“Prospek ini bagaimanapun sensitif terhadap pergerakan harga minyak global serta kesannya ke atas subsidi bahan api. Inflasi asas, yang diukur melalui inflasi teras, juga dijangka kekal stabil,” katanya.

Menurut Apurva, kadar kemiskinan pula diramal terus menurun, disokong penambahbaikan pasaran buruh, pertumbuhan gaji serta bantuan pendapatan bersasar.

“Namun, kadar penurunan ini dijangka lebih perlahan berikutan pertumbuhan ekonomi yang semakin sederhana dan ruang fiskal yang semakin terhad,” kataynya.

Dalam masa sama, beliau berkata, turun naik harga minyak boleh memberi tekanan tambahan kepada kos sara hidup melalui kesan limpahan terhadap harga bahan api dan makanan.

“Walaupun sebahagiannya dikurangkan oleh sistem subsidi sedia ada, langkah rasionalisasi subsidi yang berterusan berisiko memberi kesan lebih besar kepada golongan berpendapatan rendah, sekali gus menuntut pelaksanaan mekanisme perlindungan sosial yang lebih bersasar,” katanya.

Tambah beliau, bagi memastikan kestabilan ekonomi, gabungan dasar konsolidasi fiskal yang berterusan serta dasar monetari yang akomodatif dilihat sebagai pendekatan terbaik.

“Dalam jangka sederhana, usaha memperkukuh kedudukan fiskal memerlukan keseimbangan antara kawalan perbelanjaan dan peningkatan hasil, di samping langkah meningkatkan produktiviti serta menarik pelaburan berkualiti tinggi,” katanya. – UTUSAN



Source link

OR

Scroll to Top