Bank Indonesia beku akaun terlibat judi dalam talian

Bank Indonesia beku akaun terlibat judi dalam talian


JAKARTA: Bank Indonesia (BI) memberi jaminan akan membekukan akaun bank yang dikaitkan dengan aktiviti judi dalam talian menerusi kerjasama dengan penyedia perkhidmatan pembayaran, termasuk institusi perbankan dan bukan perbankan.

Timbalan Gabenor BI, Juda Agung berkata, semua penyedia perkhidmatan pembayaran diwajibkan memiliki sistem pengesanan penipuan bagi mengenal pasti akaun yang digunakan untuk transaksi judi dalam talian serta aktiviti penipuan lain.

“Setiap penyedia perkhidmatan pembayaran, sama ada bank atau bukan bank, mesti melaporkan akaun yang disyaki terlibat kepada BI. Akaun tersebut akan dikesan dan dibekukan agar pemilik akaun tidak dapat membuat pengeluaran atau transaksi,” katanya semasa sidang akhbar di Kementerian Komunikasi dan Hal Ehwal Digital, lapor agensi berita ANTARA.

BI turut menjalankan kempen kesedaran kepada masyarakat mengenai risiko judi dalam talian menerusi pelbagai saluran seperti televisyen dan media sosial.

“Kami komited untuk terus mengambil tindakan tegas terhadap akaun yang terbabit sehingga aktiviti judi dalam talian dapat dihapuskan sepenuhnya,” tegasnya.

Sementara itu, Menteri Komunikasi dan Hal Ehwal Digital, Meutya Hafid memaklumkan meja operasi khas bagi pembanterasan judi dalam talian telah mengemukakan 651 permohonan sekatan terhadap akaun bank yang terlibat sepanjang bulan ini.

Beliau turut menjelaskan, sebanyak 104,819 laman web berkaitan judi dalam talian telah disekat sejak pembentukan meja operasi khas itu, 4 November lalu.

“Jika dikira sejak 20 Oktober, iaitu selepas pembentukan kerajaan baharu, jumlah sekatan telah mencecah sekitar 380,000 laman web,” tambahnya.

Kerjasama erat antara kementerian dan institusi kewangan diharapkan dapat mengecilkan ruang gerak kegiatan judi dalam talian di negara ini. -AGENSI





Source link

OR

Scroll to Top