Bank of China (Malaysia) dikenakan penalti RM88,000

Bank of China (Malaysia) dikenakan penalti RM88,000


KUALA LUMPUR- Bank Negara Malaysia (BNM) telah mengenakan Penalti Monetari Pentadbiran (AMP) sebanyak RM88,000 terhadap Bank of China (Malaysia) Berhad (BOCM) pada 22 Julai, 2024 berikutan kegagalan mematuhi keperluan berhemat yang disyaratkan untuk pengaturan penyumberan luar yang penting.

BOCM sehubungan itu telah membayar RM88,000 bagi AMP yang dikenakan oleh BNM pada 2 Ogos, 2024.

Dalam satu kenyataan, bank pusat berkata BOCM gagal mendapatkan kelulusan BNM sebelum menempatkan semula dua sistemnya ke pusat data baharu pada Disember 2022 dan Februari 2023, yang tidak mematuhi perenggan 48(1)(a) Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (FSA) yang dibaca bersama dengan perenggan 12.1(b) Dokumen Dasar Penyumberan Luar (Outsourcing PD).

Dua sistem tersebut merupakan sistem perbankan teras dan penempatan semula sistem ini dianggap sebagai perubahan besar pada pengaturan penyumberan luar sedia ada yang telah diluluskan kerana tindakan itu boleh mengubah dedahan tahap dan/atau jenis risiko bagi BOCM, katanya.

Menurut Outsourcing PD, sesebuah institusi kewangan perlu mendapatkan kelulusan bertulis daripada BNM sebelum membuat perubahan besar pada mana-mana pengaturan penyumberan luar penting sedia ada yang telah diluluskan.

Keperluan ini adalah untuk memastikan BNM terus mengekalkan kemampuan untuk menyelia institusi kewangan secara berkesan.

Ia berkata ketidakpatuhan ini adalah disebabkan oleh adanya jurang dalam pemantauan BOCM terhadap aktiviti penyumberan luarnya serta terhadap dasar dan prosedur dalaman berkaitan penyumberan luar.

BOCM telah mengambil langkah-langkah yang sewajarnya untuk mengukuhkan pemantauan terhadap amalan penyumberan luar, termasuk menetapkan semakan berkala terhadap pengaturan penyumberan luarnya serta menambah baik penyelarasan dengan pelbagai fungsi kumpulannya yang menjalankan aktiviti penting bagi pihak BOCM untuk memastikan pematuhan pada undang-undang dan peraturan negara yang berkaitan pada setiap masa.

Dalam membuat keputusan untuk mengenakan AMP, BNM telah mempertimbangkan faktor-faktor penyebab dan pengurangan yang relevan, termasuk fakta-fakta kes di atas serta rekod ketidakpatuhan BOCM yang lepas.

— BERNAMA



Source link

OR

Scroll to Top