nurul.hidayah@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Bank Rakyat meneruskan tradisi edaran bubur lambuk yang dijalankan sejak 12 tahun lalu ketika Ramadan dengan pengagihan 7,000 pek di beberapa lokasi sekitar Lembah Klang, hari ini.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Bank Rakyat, Ahmad Shahril Mohd Shariff berkata, sebanyak 20 periuk disediakan secara gotong-royong oleh warga kerja bank berkenaan.
“Bubur lambuk yang kami sediakan ini untuk diedarkan kepada orang ramai selain di rumah kebajikan dan rumah anak yatim sebagai tanda kasih Bank Rakyat kepada masyarakat.
“Inisiatif ini dilaksanakan oleh Bank Rakyat bagi menyemarakkan keberkatan Ramadan selain berkongsi rezeki dengan komuniti selaras dengan tema ‘Hulurkan Salam’,” katanya.
Beliau berkata demikian di Program Bubur Lambuk 2025 anjuran Bank Rakyat di Menara 2 Bank Rakyat, di sini, hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Mohd Irwan Mohd Mubarak.
Ahmad Shahril berkata, pihaknya ada mendapat cadangan untuk menambah menu selain bubur lambuk bagi pelaksanaan program berkenaan nanti.
“Bukan sahaja dari segi penambahan pek bubur lambuk tetapi kami juga ada terima cadangan untuk membuat menu lain dalam program ini.
“Jadi, kami mungkin akan menambah menu lain seperti dodol dengan menjemput anak yatim bagi bersama-sama menghasilkan juadah itu untuk merapatkan hubungan dengan komuniti,” katanya.
Selain itu, Bank Rakyat juga meneruskan tradisi menghargai pelanggan sempena Ramadan dan Syawal pada tahun ini melalui Kempen Utama Hulurkan Salam bermula 1 Mac hingga 31 Mei 2025.
Kempen itu menawarkan hadiah berjumlah RM370,000 termasuk kereta mewah Jaecoo J7, Proton e.MAS dan motosikal elektrik BMW CE 04.
Terdapat pelbagai tawaran istimewa turut ditawarkan seperti Kempen Rebat Petrol, Rebat Barangan Runcit serta Rebat Emas.
Karnival Bazar Riang Raya yang menghimpunkan 100 gerai usahawan turut bakal dianjurkan di Menara Bank Rakyat pada 17, 19, 20 dan 21 Mac 2025.
© New Straits Times Press (M) Bhd