BANGKOK: Tindakan pantas kem silat negara mengemukakan bantahan membuahkan hasil apabila menghadiahkan pingat emas buat pesilat negara, Muhammad Izzul Irfan Marzuki dalam final menentang wakil tuan rumah, hari ini.
Kemenangan dalam Kelas D Putra itu hadir penuh kontroversi apabila pingat emas pada awalnya sudah terlepas ke tangan pesilat Thailand, Peerapon Mitasarn yang mendahului pungutan mata sebaik tamat perlawanan.
Dalam keputusan awal, Mitasarn diberikan kemenangan dengan mata 60-57 selepas juri mengambil kira satu tendangan yang dilakukannya pada saat-saat akhir.
Setiausaha Agung Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka), Bibi Aishah Golbal Shah berkata, pasukan bertindak pantas melakukan protes rasmi selepas mengesan pelanggaran peraturan yang dilakukan lawan.
“Bantahan dibuat kerana sepakan yang menyumbang mata kepada Thailand itu dilakukan selepas gong penamat dibunyikan.
“Protes berjaya kerana pelanggaran (peraturan) dilakukan oleh atlet Thailand dan mata ditolak sepuluh,” katanya ringkas.
Susulan bantahan yang diterima juri, 10 mata Mitasarn dipotong, sekali gus mengubah keputusan akhir menyaksikan Izzul Irfan diisytiharkan sebagai pemenang mutlak dengan keputusan 57-50.- UTUSAN






