suliati@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: UOB Malaysia menjalin kerjasama strategik dengan Bursa Malaysia Berhad (Bursa Malaysia) bagi membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menerima pakai amalan mampan serta memajukan usaha penyahkarbonan mereka.
Inisiatif ini menjadi teras kepada program Sustainability Accelerator Programme (SAP 2.0) yang baru diperluaskan oleh UOB.
Pertama kali diperkenalkan pada Oktober tahun lalu sebagai SAP 1.0, ia bertujuan menyediakan pengetahuan asas kepada PKS memulakan perjalanan mereka membabitkan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).
Usaha ini didayakan melalui Kompas Kelestarian UOB iaitu alat yang dibangunkan bersama PricewaterhouseCoopers dan penyelesaian pembiayaan khusus seperti U-Series yang terdiri daripada U-Energy, U-Solar dan U-Drive.
Berikutan kejayaan fasa pertama itu, SAP 2.0 kini membuka peluang lebih besar kepada pelanggan PKS mengakses kepada Penyelesaian Perisikan Kelestarian Berpusat (CSI) Bursa Malaysia sekali gus mengurangkan kerumitan pengiraan pelepasan dan memudahkan pengambilan penyelesaian penyahkarbonan yang berkaitan.
Ketua Pegawai Eksekutif UOB Malaysia, Ng Wei Wei berkata, pihaknya bangga menjadi bank pertama bekerjasama dengan Bursa Malaysia dalam usaha memperkasa PKS ke arah perniagaan mampan.
Katanya, di bawah Program SAP 2.0 itu OUB Malaysia bukan sahaja menyediakan rangkaian penyelesaian khusus untuk PKS yang dipertingkatkan, malah turut membiayai yuran langganan Penyelesaian CSI Bursa untuk pelanggan PKS.
“Pelaporan pelepasan gas rumah hijau (GHG) sering menjadi perkara yang membimbangkan dalam usaha penyahkarbonan.
“Dengan mempermudah proses dan membantu PKS mengira serta melaporkan pelepasan GHG mereka dengan lebih berkesan, kami berharap dapat memperkasakan lebih banyak PKS untuk melakukan peralihan ke amalan mampan.
“Saya yakin kerjasama sektor awam dan swasta yang kukuh sangat penting untuk membantu syarikat dalam usaha penyahkarbonan mereka,” katanya pada pada majlis pelancaran di UOB Plaza 1 Kuala Lumpur baru-baru ini.
Majlis itu turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Fad’l Mohamed serta wakil kanan kedua-dua organisasi, pihak berkepentingan industri dan pelanggan PKS.
Sementara itu, Fad’l berkata kerjasama itu adalah langkah ke hadapan yang penting dalam mengembangkan ekosistem CSI supaya dapat dimanfaatkan kumpulan syarikat yang lebih luas.
Menurutnya, platform CSI ebelum ini banyak membantu syarikat tersenarai awam memenuhi kewajipan pendedahan dan membimbing penyahkarbonan mereka. Kini, kami meluaskan keupayaan yang sama kepada PKS.
“Kami berharap untuk melihat lebih banyak lagi institusi kewangan mengikuti langkah ini.
“Usaha bersama seperti ini akan mempercepatkan lagi peralihan Malaysia ke ekonomi rendah karbon,” katanya.
Platform CSI berfungsi sebagai saluran pelaporan kelestarian utama Bursa Malaysia untuk semua syarikat tersenarai awam.
Sebagai sebahagian daripada penetapan ini, platform ini menyokong keperluan pendedahan Piawaian Pelaporan Kewangan Antarabangsa (IFRS) S1 dan S2 Lembaga Piawaian Kelestarian Antarabangsa (ISSB) yang diguna pakai di bawah Rangka Kerja Pelaporan Kelestarian Kebangsaan (NSRF).
Dengan keperluan pendedahan pelepasan Skop 3 yang akan bermula secara berperingkat mulai 2027, PKS dalam rantaian bekalan syarikat tersenarai awam perlu bersedia memenuhi kewajipan pelaporan ini.
Kerjasama ini dilihat mampu membantu PKS memenuhi permintaan baharu yang semakin meningkat daripada pihak berkepentingan, termasuk pelanggan besar seperti syarikat multinasional dan syarikat tersenarai awam, terhadap data pelepasan GHG untuk pelaporan pelepasan rantaian bekalan Skop mereka.
© New Straits Times Press (M) Bhd