Bantuan ke Gaza tersekat: Air bersih terhad, kebuluran kritikal

Bantuan ke Gaza tersekat: Air bersih terhad, kebuluran kritikal


am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Ketika semua bentuk bantuan terus disekat sejak Mac lalu, hanya bekalan air bersih masih mampu disalurkan secara berterusan ke Gaza setiap hari, namun jumlah amat terhad.

Ia disuarakan Presiden Muslim Care Malaysia Society Zulkifli Wahijan yang berkata, hanya kira-kira 15,000 liter air bersih dibekalkan setiap hari hasil usaha beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO), termasuk dari Malaysia, yang terus komited membantu rakyat Gaza.

Katanya, bekalan air itu diperoleh daripada perigi yang masih berfungsi, disedut menggunakan pam berkuasa solar sebelum dimasukkan ke dalam lori tangki dan dihantar ke kawasan penempatan yang masih boleh diakses.

“NGO Malaysia kini hanya mampu membantu sekitar 2,000 hingga 3,000 orang sehari dengan bekalan air bersih, berbanding lebih dua juta penduduk Gaza yang masih memerlukan.

“Bagaimanapun, NGO dari Malaysia tetap meneruskan bantuan walaupun berdepan kepungan penuh yang sudah berlarutan lebih lima bulan sejak Mac lalu, menyukarkan segala bentuk akses bantuan lain seperti makanan dan ubat-ubatan.

“Sepanjang tempoh itu, hampir tiada bantuan dibenarkan masuk kecuali bantuan pihak Israel sendiri yang bersifat ‘gimmick’ dan akhirnya menjadi perangkap kepada penduduk Gaza,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Himpunan Perdana Nasional: Malaysia Bangkit Untuk Gaza (H4G) di sebuah hotel, di sini, hari ini.

Beliau berkata, situasi makanan pula jauh lebih buruk kerana harganya terlalu mahal dan bekalannya sangat terhad, menjadikan pengagihan hanya dapat dilakukan sekali seminggu.

“Harga tepung gandum mencecah RM200 sekilogram, bawang putih pula RM5 seulas. Ini sangat membebankan. Jadi, walaupun ada dana, bekalan pula sangat sukar didapatkan.

“Kebuluran kini menjadi punca utama kematian selepas serangan bom dan tembakan, malah ramai yang meninggal dunia kerana tidak makan berhari-hari akibat ketiadaan bekalan,” katanya.

Beliau menegaskan, krisis kebuluran di Gaza tidak sama seperti di Afrika kerana di sana, bantuan antarabangsa masih boleh sampai manakala di Gaza, semuanya disekat sepenuhnya.

Katanya, NGO dari Malaysia akan terus menjalankan misi bantuan selagi mampu, namun usaha ini tidak mencukupi tanpa dukungan lebih banyak negara lain.

“Sokongan dari negara-negara Islam seperti Iran, Qatar dan Kuwait amat penting bagi meluaskan bantuan, selain penyertaan negara Barat seperti Sepanyol yang dilihat semakin terbuka menyuarakan solidariti,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berharap tekanan antarabangsa terhadap rejim Zionis ditingkatkan agar laluan bantuan kemanusiaan dapat dibuka segera terutama untuk keperluan asas seperti makanan dan air.

“Saya menyifatkan penderitaan rakyat Gaza kini sebagai krisis kemanusiaan paling dahsyat yang bukan sahaja menafikan hak untuk hidup, malah menghapuskan peluang untuk bertahan,” katanya.

Sebelum ini, media antarabangsa melaporkan, sejak 2 Mac 2025, Israel menutup semua lintasan ke Semenanjung Gaza dan menghalang kemasukan kebanyakan bantuan makanan dan perubatan, menyebabkan kebuluran meluas di wilayah itu.

Menurut angka terkini, seramai 134 rakyat Palestin, termasuk 88 kanak-kanak meninggal dunia akibat kebuluran dan kekurangan zat makanan sejak 7 Oktober 2023.

Agensi Bantuan dan Kerja Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA) memberi amaran, kadar kekurangan zat makanan dalam kalangan kanak-kanak di bawah usia lima tahun meningkat dua kali ganda antara Mac dan Jun akibat sekatan berterusan.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top