Jun Hao tewas kepada pemain nombor satu dunia. Foto FB BAM.
HARAPAN skuad badminton negara untuk melangkah ke separuh akhir Piala Sudirman lebur apabila tewas 0-3 kepada tuan rumah, China dalam aksi suku akhir yang berlangsung di Gimnasium Fenghuang pada Jumaat.
Pengarah Kejurulatihan Perseorangan negara, Kenneth Jonassen mengakui China berada dalam kelas tersendiri dan banyak kelemahan yang perlu diatasi para pemain terutama perseorangan negara sekiranya mahu mencabar kuasa besar badminton dunia itu.
“Ketika ini, sudah tentu perlawanan terakhir memberikan rasa kecewa yang mendalam.
“Kami turut belajar nilai sebenar bermain menentang pasukan bertaraf dunia apabila mereka beraksi pada tahap tertinggi dan kami masih ada banyak kekurangan untuk dibaiki.
“Namun, saya dapat lihat ada ruang-ruang kecil yang perlu kami manfaatkan dengan lebih baik sekiranya mahu benar-benar mencabar China.
“Tetapi, hari ini (Jumaat) mereka terlalu kuat,” katanya.
Dalam aksi suku akhir itu, sandaran pertama negara yang diletakkan di bahu beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei untuk menghadiahkan mata sulung tidak kesampaian tewas kepada Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping 17-21,17-21.
Kapten negara, Leong Jun Hao yang turun menentang pemain nombor satu dunia, Shi Yu Qi juga turut tidak berjaya menyumbang mata tunduk 6-21, 14-21.
Harapan terakhir digalas pemain perseorangan wanita negara, K Letshanaa berdepan tugas sukar bertemu pemain ranking ketujuh dunia, Chen Yu Fei yang turut gagal mencipta kejutan apabila tunduk 8-21, 7-21.
Kekalahan itu menyaksikan Malaysia gagal mengulangi pencapaian mara ke separuh akhir seperti dalam dua edisi terdahulu, masing-masing pada 2021 dan 2023 yang membawa pulang pingat gangsa.