Azeem. Foto Instagram Azeem Fahmi.
PELARI pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi belum mahu mengibar bendera putih untuk melakar sensasi di pentas antarabangsa setelah terlepas peluang untuk membaharui rekod kebangsaan dalam acara 200 meter (m) di Amerika Syarikat (AS).
Atlet berusia 21 tahun itu menamatkan larian di tempat pertama dalam saringan keenam dengan catatan 20.79 saat (s) pada Kejohanan Olahraga Pepsi Florida Relays di Florida pada Sabtu.
Catatan tersebut menyaksikan Azeem hampir memecah rekod kebangsaan 20.77s milik Russel Taib yang dipegangnya sejak 2019 apabila hanya dibezakan 0.02 saat (s).
Azeem yang mewakili Universiti Auburn mengakui masih terdapat beberapa aspek perlu dibaiki untuk tampil dengan larian yang lebih konsisten pada masa akan datang.
“Masih banyak kerja yang perlu dibuat,” catat Azeem menerusi Instagramnya.
Azeem juga membuktikan dirinya antara pelari harapan universiti itu apabila berada di tangga ke-13 daripada 45 peserta dan menjadi pelari kedua terbaik yang mewakili Universiti Auburn.
Catatan tersebut turut menarik perhatian Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) yang optimis Azeem mampu melakar lebih banyak kejayaan selepas mempamerkan larian bertenaga dalam saingan itu.
“Teruskan, Azeem! Kejayaan sedang menanti di garisan penamat. Doa rakyat Malaysia sentiasa bersama atlet olahraga,” catat KOM menerusi laman sosial.
Pencapaian tersebut juga adalah catatan yang membanggakan selepas kejayaannya memecahkan rekod kebangsaan 60m dalam dewan.
Pemegang rekod 100m kebangsaan itu giat mencari formula terbaik untuk mendapatkan catatan masa terbaik untuk meraih slot ke Kejohanan Dunia di Tokyo pada 13 hingga 21 September depan.