PENGARAH Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky mengakui penyingkiran skuad negara daripada Kejohanan Badminton Berpasukan Campuran Asia (BAMTC) 2025 di China sebagai satu pengajaran yang sangat bernilai.
Biarpun kecewa dengan kekalahan dalam kedua-dua perlawanan di peringkat Kumpulan B, Rexy optimis keputusan tersebut mampu membina kematangan dalam kalangan pemain untuk beraksi pada tahap tertinggi di pentas antarabangsa.
Malah beliau juga percaya masih banyak perkara positif yang boleh dipelajari terutama dalam aspek tanggungjawab dan daya saing pada kejohanan berpasukan.
“Meskipun skuad ini terdiri daripada gabungan pemain senior dan junior, ia tidak bermakna kami tiada impian untuk melangkah lebih jauh atau muncul juara.
“Namun, masih ada segelintir pemain yang belum memberikan usaha terbaik mereka.
“Daripada segi keputusan, sudah tentu kami kecewa, tetapi jika pemain tidak diberi peluang untuk beraksi pada kejohanan besar seperti ini, bila lagi mereka akan memperoleh pengalaman?
“Tambahan pula, Hong Kong menurunkan barisan terbaik mereka,” katanya ketika ditemui media di ABM, Bukit Kiara pada Jumaat.
Malaysia gagal meneruskan kemaraan ke suku akhir selepas menamatkan saingan di kedudukan ketiga Kumpulan B setelah kalah 2-3 kepada Indonesia dan Hong Kong.
Rexy turut melihat Malaysia sebenarnya berpeluang melangkah ke pusingan kalah mati, jika beregu campuran berjaya mengutip mata ketika berdepan kedua-dua pasukan tersebut.
“Jika matlamat utama kami hanya untuk menjuarai BAMTC, sudah tentu kami akan menghantar barisan terkuat,” katanya.
Justeru jelas Rexy, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengambil pendekatan jangka panjang dengan memberi peluang kepada pemain pelapis untuk merasai tekanan pada kejohanan berpasukan apabila tidak menurunkan beregu lelaki utama, Aaron Chia-Soh Wooi Yik.
“Kami mahu lebih ramai pemain merasai pengalaman pada kejohanan berpasukan. Dalam situasi seperti ini, tanggungjawab bukan hanya terletak kepada pemain utama, tetapi juga mereka yang lebih berpengalaman seperti Goh Soon Huat-Shevon Lai,” katanya.