KUALA LUMPUR – Parti Sosialis Malaysia (PSM) menyifatkan penganugerahan kontrak rangkaian 5G kedua Malaysia kepada syarikat U Mobile Sdn. Bhd. (U Mobile) sebagai suatu langkah yang mencurigakan.
Ahli Jawatankuasa Pusat PSM, K. Arveent berkata, terdapat beberapa persoalan terbuka dalam pemberian tender itu yang boleh memberi gambaran seolah-olah mahu memanfaatkan kroni Kerajaan MADANI.
Antaranya, kata beliau, U Mobile tidak begitu berpengalaman berbanding syarikat telekomunikasi lain seperti CelcomDigi dan Maxis yang mana syarikat itu beroperasi secara Mobile Virtual Network Operator (MVNO) yang bergantung kepada infrastruktur berkongsi.
Selain itu, katanya, laporan “Mobile Network Experience Report” oleh OpenSignal juga menyatakan prestasi Celcom, DiGi dan Maxis seakan-akan lebih menarik berbanding U Mobile dan tren sama dilaporkan oleh Twimbit yang mana ketiga-tiga syarikat tersebut mendapat penilaian lebih tinggi dalam kadar kepuasan pelanggan.
Dalam masa sama, beliau mempersoalkan peranan Digital Nasional Berhad (DNB) iaitu syarikat tujuan khas dimiliki oleh Kementerian Digital yang ditubuhkan untuk mewujudkan rangkaian 5G.
“Adakah syarikat yang dimiliki kerajaan Malaysia akan dianak-tirikan untuk memperkasa syarikat swasta?” katanya menerusi satu kenyataan.
Sehubungan itu, tambah Arveent, pihaknya menggesa semua kerja yang kini diluluskan berkaitan tender tersebut dihentikan sehingga maklumat penuh tender serta kontrak didedahkan secara terbuka kepada seluruh rakyat.
Tambahnya, Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) juga perlu memberikan justifikasi pemilihan U Mobile secara terperinci dengan butiran-butirannya didebatkan di Parlimen.
Tegas beliau, sekiranya model pemilikan dan kawalan atas rangkaian 5G ini memberi kuasa kepada sektor swasta, model itu perlu ditukar kepada suatu yang memastikan kerajaan mempunyai kuasa penuh dengan kebebasan maklumat ke Parlimen
“Pada zaman ini, telekomunikasi bukan sekadar kemewahan, tetapi keperluan setiap individu.
“Atas sebab ini, status akses kepada teknologi telekomunikasi harus ditingkatkan sebagai hak asasi setiap warga Malaysia.
“Kerajaan MADANI harus mengambil tanggungjawab menyempurnakan hak ini secara perkhidmatan awam, bukannya menghalalkan model yang hanya mengkayakan sang kapitalis,” katanya.
SKMM baru-baru ini mengumumkan keputusan pemilihan U Mobile bagi melaksanakan rangkaian 5G kedua di negara ini selepas melakukan penilaian teknikal dan komersial yang terperinci.
Bagaimanapun, pemilihan U Mobile itu mencetuskan persoalan dari aspek ketelusan dan kredibiliti selepas beberapa pihak mendakwa terdapat syarikat telekomunikasi lain yang lebih layak dengan merujuk kepada CelcomDigi dan Maxis.
Menjawab persoalan itu, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, pemilihan U Mobile itu dibuat melalui proses tender dan bukan secara penganugerahan terus selain SKMM tidak dipengaruhi mana-mana pihak dalam membuat keputusan dan penilaian penganugerahan tender tersebut. – MalaysiaGazette
IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL