am@hmetro.com.my
Tawau: “Saya galakkan anak-anak berkhatan untuk manfaat kesihatan apabila mereka dewasa kelak,” kata Johannes Ado, 40.
Katanya, dua anaknya, Joshua Jerico, 11, dan Joackson Marshello, 8, teruja dan sedikit pun tidak takut untuk merasai sendiri pengalaman berkhatan secara beramai-ramai.
Menurutnya, dia terpanggil untuk menyertai Program Khatan Perdana Peringkat DUN Kukusan 2025 sebagai pendedahan awal kepada kedua-dua anak lelakinya itu mengenali dan mengetahui hikmah berkhatan.
“Kami beragama Kristian, tetapi dalam keluarga besar kami juga ada yang beragama Islam dan amalan berkhatan ini sudah tidak asing lagi bagi kami.
“Malah anak-anak juga menawarkan diri untuk turut serta pada program ini,” katanya ketika ditemui pagi ini.
Jelas Johannes lagi, walaupun berbeza agama beliau bersikap terbuka dan tidak menghalang sekiranya ditakdirkan anak-anaknya kelak mahu mendalami agama Islam suatu hari nanti.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri ADUN) Kukusan, Datuk Rina Jainal berkata, program itu antara antara inisiatif pihaknya membantu penduduk setempat termasuk golongan B40, anak yatim dan asnaf berkhatan secara beramai-ramai menggunakan kaedah bersunat secara laser.
Beliau berkata, antara kelebihan berkhatan menggunakan laser adalah dapat mengurangkan pendarahan, luka cepat sembuh selain prosedur yang singkat dan praktikal berbanding kaedah tradisional.
“Alhamdulillah Program Khatan Perdana Peringkat DUN Kukusan 2025, mendapat sambutan yang amat menggalakkan dengan 101 kanak-kanak terlibat kali ini.
“Program ini juga sebagai platform menyantuni rakyat disamping bertujuan mengeratkan lagi hubungan dikalangan masyarakat setempat sempena musim cuti persekolahan tahun ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd