Buenos Aires: Bapa kepada bintang Argentina, Lionel Messi, Jorge Messi sedang menjalani pemantauan perubatan selepas mengalami masalah kesihatan yang tidak didedahkan, menurut kenyataan keluarga itu.
Keluarga Messi memaklumkan Jorge Messi kini dalam proses pemulihan dan menunjukkan perkembangan positif di bawah pengawasan pihak perubatan, namun enggan mendedahkan butiran lanjut mengenai keadaan berkenaan.
“Beliau kini berada di bawah pemantauan perubatan, sedang pulih dan menunjukkan perkembangan yang baik mengikut keadaannya,” menurut kenyataan keluarga itu.
Perkembangan itu hadir ketika spekulasi mengenai kesihatan Jorge Messi meningkat susulan reaksi emosi Lionel Messi selepas menjaringkan gol dalam kemenangan Argentina 3-0 ke atas Algeria dalam aksi Piala Dunia, Selasa lalu.
Kapten Argentina itu dilihat sebak selepas jaringan pertamanya dalam perlawanan berkenaan, yang kemudian disusuli dua lagi gol untuk melengkapkan hatrik.
Messi sebelum itu turut mengakui dirinya melalui detik sukar di luar padang, yang memberi kesan kepada emosinya ketika perlawanan.
“Ia bukan berkaitan sukan. Saya melalui beberapa hari yang sukar dan rumit,” katanya kepada media.
Jorge Messi yang juga ejen kepada pemenang tujuh Ballon d’Or itu sudah lama menjadi tonggak penting dalam kariernya, mengiringi perjalanan Messi sejak di Barcelona, Paris Saint-Germain, Inter Miami serta bersama skuad kebangsaan Argentina.
Dalam kenyataan sama, keluarga Messi turut menzahirkan rasa kesal terhadap laporan media yang disifatkan terlalu mendesak dan tidak menghormati privasi keluarga.
“Kami mohon tanggungjawab, kewarasan dan nilai kemanusiaan. Kesihatan seseorang serta ketenangan keluarga tidak sepatutnya menjadi bahan spekulasi,” menurut kenyataan itu.
Keluarga Messi menegaskan mereka berharap semua pihak menghormati ruang peribadi mereka sepanjang tempoh pemulihan Jorge Messi.
© New Straits Times Press (M) Bhd






