London: Juara bertahan Wimbledon, Barbora Krejcikova hampir mengucapkan selamat tinggal awal apabila terpaksa bertarung tiga set sebelum menewaskan wakil Amerika Syarikat, Caroline Dolehide 6-4 3-6 6-2 dalam pusingan kedua awal pagi tadi.
Aksi di Gelanggang Dua itu jauh daripada standard seorang juara Grand Slam apabila kedua dua pemain dilihat lebih banyak melakukan kesilapan sendiri berbanding menghasilkan pukulan berkualiti.
“Leganya… memang perlawanan yang naik turun.Saya sangat bersyukur masih boleh teruskan.” kata Barbora kepada tepukan sopan penonton selepas tamat perlawanan.
Namun, ramai penyokong mungkin tidak menyedari mereka sedang menonton pemain bergelar juara bertahan memandangkan prestasi Barbora yang dilihat hambar dan kekurangan aura.
Musim ini menyaksikan pemain berusia 29 tahun itu bergelut dengan kecederaan belakang dan paha yang menyebabkan dia sukar mencapai prestasi terbaik. Rekod 4 kemenangan dan 3 kekalahan sebelum ini jelas memberi bayangan.
Dalam aksi pagi tadi, Barbora melakukan 39 kesilapan manakala Dolehide gagal memasukkan lebih separuh servis pertama sepanjang perlawanan menjadikan keseluruhan perlawanan itu lebih mirip sesi latihan berbanding perlawanan Grand Slam.
Mereka saling bertukar servis dan melakukan ralat teknikal dengan Dolehide cuba menekan menggunakan kuasa pukulan manakala Barbora pula lebih bergantung kepada forehand perlahan yang dilihat ketinggalan zaman.
Meskipun bergelar juara Terbuka Perancis 2021, prestasi Barbora sejak itu tidak konsisten dengan beberapa penyingkiran awal termasuk tiga kali tumbang di pusingan pertama Roland Garros.
© New Straits Times Press (M) Bhd