Barcelona berhak mara ke separuh akhir – Flick

Barcelona berhak mara ke separuh akhir – Flick


Dortmund: Jurulatih Barcelona, Hansi Flick berkata, pasukannya berhak mara ke separuh akhir Liga Juara-Juara walaupun tewas 1-3 kepada Borussia Dortmund dalam aksi timbal balik, awal pagi tadi.

Kemenangan 4-0 di tempat sendiri pada perlawanan pertama memberikan Barcelona kelebihan besar, memaksa Dortmund memerlukan keajaiban untuk mara ke separuh akhir buat musim kedua berturut-turut.

Pasukan Jerman itu berjaya membuat Barcelona berpeluh, dengan Serhou Guirassy menjaringkan hatrik, namun kelebihan besar Barca dalam perlawanan pertama cukup untuk membawa mereka ke separuh akhir buat kali pertama sejak musim 2018-19.

“Kami bermain dua perlawanan dan ia wajar jika kami mara. Saya tidak mahu bercakap terlalu banyak mengenai pasukan saya kerana itu tidak adil kepada Dortmund.

“Mereka benar-benar menyukarkan kami tetapi yang penting, kami berjaya ke separuh akhir,” kata Flick.

Dengan tempat di final Copa del Rey sudah terjamin dan kelebihan empat mata di La Liga, Barcelona masih berada di landasan tepat untuk meraih tiga kejuaraan musim ini.

Pemain tengah Barcelona, Fermin Lopez, yang melakukan hantaran sehingga menyebabkan gol sendiri Ramy Bensebaini berkata, pengalaman aksi hari ini akan memantapkan lagi pasukan Catalan itu.

“Dortmund mempunyai pasukan yang sangat baik, anda boleh lihat hari ini. Minggu lalu, kami buat mereka menderita di tempat kami. Hari ini, kami pula yang menderita di sini,” kata pemain berusia 21 tahun itu.

Kekalahan itu adalah yang pertama buat Barcelona dalam semua pertandingan tahun ini, dan Flick menyatakan keyakinan penuh bahawa pasukannya akan bangkit semula.

“Sekarang masa untuk meraikan pencapaian kami mara ke separuh akhir, kemudian barulah kami tumpukan semula kepada apa yang menanti selepas ini,” tambah jurulatih dari Jerman itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top