Barcelona kenduri gol kalahkan Dortmund

Barcelona kenduri gol kalahkan Dortmund


BARCELONA membelasah pelawat Borussia Dortmund 4-0 di Estadi Olimpic Lluís Companys dalam aksi suku akhir pertama Liga Juara-Juara pada Khamis, dengan Robert Lewandowski menjaringkan dua gol menentang bekas kelabnya untuk memberikan kelebihan selesa buat The Catalans menjelang timbal balik kedua di Jerman minggu depan.

Barcelona kendalian Hansi Flick yang tampil dengan momentum tanpa kalah sejak Disember, memburu trebel mendominasi babak awal membuka jaringan menerusi rembatan Raphinha pada minit ke-25.

Ketangkasan penjaga gol Dortmund, Gregor Kobel selepas itu berjaya menggagalkan usaha Barca untuk menambah jaringan sepanjang baki separuh masa pertama.

Barcelona tampil lebih bertenaga selepas rehat hanya mengambil masa tiga minit untuk melebarkan pendahuluan menerusi tandukan Lewandowski minit ke-48 hasil bantuan gol Raphinha.

Penyerang kelahiran Poland itu kemudian melebarkan kelebihan pada minit ke-66 sebelum Lamine Yamal melengkapkan pesta gol Barcelona pada minit ke-77.

“Saya rasa kami bermain sangat baik tetapi kami belum memikirkan tentang separuh akhir lagi.

“Kami mesti mengekalkan fokus dan mentaliti sama yang telah membawa Barcelona sejauh ini.

“Tidak kira di mana kami bermain dan perlawanan apa pun, kami sentiasa mahu bermain bola sepak kami dengan komitmen sama.

“Mentaliti kami sentiasa mahukan kemenangan dan itulah cara kami akan bermain di Dortmund. Kami harus pergi ke sana dan bermain sebaik yang kami lakukan hari ini atau bahkan lebih baik,” kata Lewandowski.

Sebagai rekod, Barcelona menikmati rentetan 23 perlawanan tanpa kalah luar biasa dalam semua pertandingan.

Angkatan Flick adalah satu-satunya pasukan dalam lima liga teratas Eropah yang belum tewas pada 2025 masih dalam perebutan untuk memenangi tiga gelaran.

Mereka mendahului LaLiga, empat mata di depan Real Madrid yang akan dihadapi di final Piala Raja Sepanyol pada 26 April.

Barca kini telah menjaringkan 36 gol dalam 11 perlawanan di Liga Juara-Juara, dan 145 gol dalam 48 perlawanan kompetitif, ternyata lebih garang hasil gandingan serangan inspirasi dibentuk Lewandowski, Yamal dan Raphinha.

Sementara itu, pengendali Dortmund, Niko Kovac mengakui kekalahan berkenaan sebagai sesuatu yang besar.

“Kami menjangkakan lebih tetapi kami harus realistik. Barca adalah pasukan yang hebat. Hari ini mereka memanfaatkan semua ‘hadiah’ yang kami berikan kepada mereka, mereka sangat efektif dalam serangan,” katanya.



Source link

OR

Scroll to Top