Jeddah: Barcelona membelasah seteru utama, Real Madrid dengan kemenangan 5-2 dalam perlawanan akhir Piala Super Sepanyol yang penuh aksi di Arab Saudi, awal pagi tadi, sekali gus meraih trofi pertama di bawah era Hansi Flick.
Kylian Mbappe membuka jaringan untuk Madrid, namun Barcelona yang mendominasi perlawanan membalas dengan lima gol sebelum penjaga gol mereka, Wojciech Szczesny, dilayangkan kad merah pada separuh masa kedua.
Madrid berharap dapat membalas dendam atas kekalahan 0-4 di laman sendiri kepada Barcelona dalam aksi La Liga pada Oktober lalu, sebaliknya mereka dimalukan oleh seteru utama mereka di Jeddah.
Selepas jaringan pembukaan Mbappe, Lamine Yamal menyamakan kedudukan sebelum Robert Lewandowski meletakkan Barcelona di depan melalui sepakan penalti.
Raphinha menambah dua gol, sementara Alejandro Balde turut menyumbang satu jaringan.
Rodrygo Goes merapatkan jurang untuk Madrid menerusi sepakan percuma, tetapi mereka gagal memanfaatkan kelebihan jumlah pemain, menyebabkan kekalahan memalukan buat juara Eropah itu.
“Saya rasa hari ini adalah hari yang baik kerana kami menewaskan salah satu pasukan terbaik dunia untuk kali kedua musim ini dan ini adalah sesuatu yang luar biasa.
“Kami memenangi trofi di sini dan kami sangat gembira… hari ini adalah hari untuk melihat pasukan ini secara positif,” kata Flick kepada pemberita.
Jurulatih Real Madrid, Carlo Ancelotti menyatakan kelemahan pertahanan pasukannya adalah punca utama kekalahan teruk itu.
“Kami bertahan dengan agak teruk dan itu menjadi punca kekalahan. Lawan menjaringkan gol dengan mudah.
“Kami sedih, seperti dirasai semua penyokong kami, ia mengecewakan dan kami tidak boleh menyembunyikan perasaan itu. Kami perlu terus memandang ke depan, tiada pilihan lain,” kata Ancelotti kepada Movistar.
© New Straits Times Press (M) Bhd