KELAB La Liga Sepanyol, FC Barcelona mengambil langkah drastik dalam usaha menyusun semula kewangan projek pembaharuan Stadium Camp Nou apabila mengumumkan penerbitan bon baharu bernilai €424 juta.
Menurut kenyataan rasmi kelab, inisiatif terbaharu ini membolehkan Barcelona menangguhkan bayaran balik pertama kepada tahun 2033, berbanding komitmen asal yang dijadualkan bermula pada 2028.
Langkah ini merupakan kesinambungan kepada pelan pembiayaan utama bernilai €1.45 bilion yang diperoleh pada 2023 daripada 20 institusi kewangan global termasuk gergasi pelaburan seperti Goldman Sachs dan JP Morgan.
Dana tersebut digunakan khusus bagi kerja-kerja menaik taraf Camp Nou di bawah projek Espai Barça.
“Dengan bantuan Goldman Sachs selaku penasihat kewangan, penyusunan semula tranche bernilai €424 juta ini dapat dilaksanakan dengan lebih efisien dan berstruktur,” kata kenyataan kelab.
Menerusi pelan penyusunan semula ini, keseluruhan hutang dijangka dilunaskan secara ansuran antara tahun 2033 hingga 2050, sekali gus memberi ruang lebih selesa kepada kelab untuk merancang aliran tunai jangka panjang.
Mengikut struktur pembiayaan asal yang dimeterai tahun lalu, bayaran semula sepatutnya dibuat secara berperingkat dalam tempoh lima hingga 24 tahun.
Penjadualan baharu ini bukan sahaja memberi kelegaan dari segi kewangan, malah turut membuka peluang kepada pelaburan semula dalam projek kelestarian jangka panjang.
Kos purata bon yang diterbitkan berada pada kadar faedah 5.19 peratus.
Barcelona turut memaklumkan bahawa perlawanan persahabatan skuad utama lelaki di Camp Nou akan diadakan pada 10 Ogos, menandakan pembukaan semula sebahagian fasiliti baharu stadium tersebut.
Dengan fasa awal pembaharuan Camp Nou hampir selesai, pihak pengurusan kelab menjangkakan lonjakan hasil tahunan melebihi €200 juta melalui pelbagai sumber baharu, antaranya termasuk penajaan strategik, hak penamaan stadium, jualan tiket, pakej hospitaliti VIP, katering dan juga penganjuran acara mega.
“Kami terus komited melaksanakan langkah-langkah berhemah bagi memastikan proses pembayaran semula berlaku secara sistematik dan mampan,” menurut kenyataan kelab.