Barcelona tidak perlu jual pemain utama

Barcelona tidak perlu jual pemain utama


PENGARAH Sukan FC Barcelona, Deco, menafikan kelab itu berdepan sebarang masalah kewangan, malah menegaskan tiada keperluan untuk menjual pemain biarpun tertakluk kepada kawalan kewangan ketat yang ditetapkan La Liga.

Sejak dilantik pada tahun 2023, bekas pemain kebangsaan Portugal itu berjaya menyuntik nafas baharu kepada kelab Catalan dengan pencapaian membanggakan, termasuk menjuarai treble domestik dan mara ke separuh akhir Liga Juara-Juara Eropah.

Kontrak pemain muda sensasi, Lamine Yamal, serta tonggak sayap, Raphinha, dan pengurus baharu, Hansi Flick, telah diperbaharui.

Malah, kelab turut mendapat lampu hijau daripada Majlis Sukan Negara Sepanyol (CSD) untuk mendaftarkan pemain tengah kebangsaan, Dani Olmo, meskipun berdepan isu teknikal dengan La Liga.

“Barcelona ialah kelab saya. Saya cintakan kelab ini. Dari luar, saya melihat apa yang berlaku dan percaya saya mampu membantu mengembalikan Barca ke tahap tertinggi.

“Saya sedar cabaran menanti, bukan kerana masalah kewangan semata-mata, tetapi undang-undang ‘Financial Fair Play’ di Sepanyol jauh lebih ketat berbanding Liga Perdana Inggeris dan liga-liga lain,” ujar Deco.

Menurutnya, isu kewangan bukan hanya dialami Barcelona, malah turut membelenggu banyak kelab lain. Namun, disebabkan status Barca sebagai kelab elit, perhatian umum lebih tertumpu kepada pasukan Catalan berkenaan.

Pemain Barcelona meraikan kejayaan bersama penyokong Blaugrana selepas melabuh kempen domestik dengan pencapaian membanggakan. Foto Barcelona FC

Gabungan akademi dan pemain berpengalaman jadi kekuatan

Deco memuji keberkesanan gabungan pemain dari akademi tersohor La Masia dengan pemain senior berpengalaman sebagai faktor penting dalam kebangkitan kelab.

Beliau juga menegaskan bahawa kelab tidak perlu membuat pembelian besar-besaran kerana pasukan sedia ada cukup stabil.

“Kami sedang merancang untuk membawa masuk dua hingga empat pemain sahaja. Tidak perlu ‘gila’ berbelanja kerana struktur pasukan kini sudah kukuh,” katanya.

Menyentuh tentang khabar angin berkaitan minat terhadap Marcus Rashford (Manchester United) dan Luis Díaz (Liverpool), Deco menjawab:

“Kami kini menumpukan kepada proses pembaharuan kontrak. Selepas itu, barulah kami meneliti senarai pemain baharu. Rashford dan Díaz pemain yang baik, tetapi kami tidak akan membincangkan pemain yang masih terikat kontrak, kerana itu tidak wajar.”

Barcelona kekal menarik di mata pemain

Deco turut menegaskan bahawa imej Barcelona sebagai kelab besar kekal utuh dan masih menjadi destinasi impian ramai pemain.

“Apabila saya berbincang dengan ejen pemain, hampir semuanya mahu datang atau kekal di Barcelona.

“Ini satu petanda baik. Kelab ini masih menarik dan corak permainan kami membuatkan ramai ingin menyertai kami,” katanya.

Selain itu, Deco menjelaskan bahawa perjanjian penajaan mega bersama Nike dan pembukaan semula Stadium Nou Camp yang telah dinaik taraf akan memberi lonjakan besar kepada pendapatan kelab.

Stadium berkapasiti 100,000 tempat duduk itu bakal menjadi gelanggang terbesar di Eropah, sekali gus memantapkan kedudukan kewangan kelab.

Persaingan dengan Real Madrid kekal sengit

Mengulas mengenai saingan musim depan, Deco mengakui Real Madrid di bawah kendalian Xabi Alonso bakal menjadi ancaman utama.

“Madrid memiliki ramai pemain bertaraf dunia dan mereka pastinya mahu memperkukuh kedudukan pasukan.

“Kita perlukan pasukan seperti Madrid dan Atlético yang kuat. Liga ini perlukan bintang-bintang untuk terus menarik minat penyokong,” katanya.

Madrid dijangka mengukuhkan pertahanan dengan kemasukan Trent Alexander-Arnold (Liverpool), Dean Huijsen (Bournemouth) dan Álvaro Carreras (Benfica).

Bintang masa depan Barca

Antara pencapaian terpenting kelab musim ini ialah kejayaan mengekalkan pemain muda berpotensi besar, Lamine Yamal, dengan kontrak baharu sehingga tahun 2031.

Pemain berusia 17 tahun itu telah mencatatkan 106 penampilan bersama pasukan utama dan menjadi tonggak kejayaan empat kemenangan El Clasico ke atas Real Madrid musim ini.

Beliau juga merupakan pemenang Anugerah Golden Boy dan Kopa Trophy, yang mengiktiraf pemain muda terbaik dunia.

“Lamine ialah Lamine. Lionel Messi ialah Messi. Leo ialah legenda terbesar dalam sejarah kelab ini, mungkin juga yang terbaik dalam sejarah bola sepak.

“Tapi Lamine juga istimewa. Orang ramai sanggup bayar semata-mata untuk melihatnya beraksi. Dia pilih untuk kekal kerana percaya dengan projek kami, dan dia memang layak mendapat gaji lebih baik,” katanya.

Tambah beliau, walaupun potensi Lamine sangat tinggi, kelab akan terus melindunginya agar tekanan luar seperti penaja dan media tidak menjejaskan perkembangannya.

“Kami cuba untuk tidak membebankannya dengan segala-galanya. Semua orang mahu sebahagian daripadanya – jersi, masa, perhatian. Kami perlu bantu dia mengurus semua itu,” ujar Deco.



Source link

OR

Scroll to Top