Pelakon Yana Samsudin menghadiri majlis konvokesyennya di Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) meskipun masih dalam tempoh berpantang hari ke-30.
Menerusi satu video dikongsikan di akaun TikTok rasmi UMPSA, Yana berkata dia tetap semangat untuk hadir pada hari konvokesyen serta tidak mahu melepaskan peluang hadir ke hari bersejarah berkenaan.
BACA: “Doa Nak Anak Ramai” – Yana Samsudin Hamil Anak Keempat
“Saya masuk pantang 30 hari ni… tapi semangat untuk datang konvo memang kuat. Ikutkan, tarikh due saya sebenarnya sama dengan hari konvokesyen.
“Tapi sebab saya lahirkan awal, alhamdulillah dapat hadir juga hari ini. Ini semua rezeki Allah,” katanya.
Sementara itu, Yana yang menamatkan pengajian dalam Ijazah Sarjana Eksekutif Pengurusan Korporat berkata pengajian selama lebih dua tahun itu tidak mudah, lebih-lebih lagi apabila perlu menguruskan rumah tangga dan membesarkan anak-anak.
“Saya habiskan Master ni dengan dua kali bersalin. Memang susah, tak cukup tidur, tapi bila fikir anak-anak, saya nak mereka nampak usaha Mommy dia,” katanya.





