nfazlina@nstp.com.my
Kota Bharu: “Baru sejam sampai rumah sebelum saya dikejutkan dengan panggilan telefon memaklumkan terdapat kebakaran di sebelah gudang kami.”
Demikian luahan Hong Lee Feng iaitu Pengurus gudang pemborong buah-buahan dan barangan runcit yang musnah dalam kebakaran di Jalan Kebun Sultan di sini, jam 9 malam tadi.
Hong berkata, dia bergegas ke lokasi kejadian sebelum melihat api sedang marak.
“Melihat keadaan api yang membakar kilang, saya tidak mampu berfikir apa-apa selain terdapat penuh buah-buahan di dalam gudang selain barangan runcit.
“Barangan runcit serta pelbagai buah-buahan mula disimpan sejak Disember tahun lalu dan boleh dikatakan memang banyak dalam kilang itu termasuk enam lori dan dua motosikal.
“Malah, bekalan limau mandarin untuk Tahun Baru Cina sebanyak 76.8 tan juga sudah disimpan sejak Disember semuanya musnah. Terdapat juga pelbagai jenis buah lain turut berada dalam gudang.
“Saya tidak tahu berapa nilai kerugian kerana tidak tahu apa yang selamat. Ketika kejadian gudang sudah kosong dan lebih 20 pekerja sudah pulang sejak jam 8 malam,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
“Barangan di gudang ini kita hantar ke lebih 30 pasa raya di Kelantan,” katanya yang memaklumkan gudang berkenaan beroperasi sejak lebih 40 tahun lalu.
Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi JBPM Kelantan, Mohd Fadhlizil Ikram Ahmad Pauzi, berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian jam 9.09 malam.
“Jentera membabitkan empat balai dikejarkan ke lokasi kejadian iaitu Kota Darulnaim, Tunjung, Pengkalan Chepa dan Kota Bharu.
“Operasi sedikit sukar kerana kita susah untuk masuk ke dalam bagi pemadaman di kawasan belakang gudang.
“Barangan dalam gudang berkenaan boleh dikatakan musnah seratus peratus,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd






