GOPENG- Sebuah bas pelancong yang membawa 41 penumpang termasuk lima kanak-kanak merempuh sebuah treler di KM259.4 Lebuhraya Utara Selatan (hala utara) dekat sini, awal pagi tadi.
Difahamkan bas yang membawa tiga lelaki, 33 wanita, lima kanak-kanak bersama seorang pemandu itu dalam perjalanan dari Melaka ke Kedah.
Penolong Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pasukannya dari balai Gopeng dan Simpang Pulai dikejarkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan jam 4.03 pagi.
Sejurus tiba, pihak bomba mendapati bahagian hadapan bas sudah remuk dipercayai akibat merempuh belakang treler.
“Empat penumpang bas terdiri daripada tiga wanita dan seorang lelaki dewasa mengalami cedera ringan.
“Manakala penumpang-penumpang lain berjaya menyelamatkan diri tanpa sebarang kecederaan sebelum pihak bomba tiba,” katanya.
Menurut Sabarodzi, pasukan EMRS telah memberikan rawatan awal sebelum menghantar penumpang-penumpang yangcedera ke hospital untuk rawatan lanjut.
Operasi yang melibatkan 15 anggota bomba itu berakhir jam 5.01 pagi. -MalaysiaGazette
IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL