hidayah.tanzizi@hmetro.com.my
Serdang: Seorang guru dan tiga murid sebuah pusat asuhan di Ampang cedera ringan selepas bas dinaiki hilang kawalan dan terbabas sebelum melanggar pokok di Jalan Persiaran Universiti 1 Universiti Putra Malaysia (UPM), di sini, hari ini.
Dalam kejadian jam 12.18 tengah hari itu, bas persiaran dipandu lelaki berusia 44 tahun berkenaan membawa lima guru pengiring dan 30 murid.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Muhamad Farid Ahmad berkata, ketika kejadian bas berkenaan bergerak dari arah kilang coklat Beryl’s menuju ke G2G Animal Garden MAEPS Serdang.
Menurutnya, siasatan awal mendapati bas berada di laluan lurus dan kemudian hilang kawalan sebelum kenderaan itu terbabas ke sebelah kiri jalan lalu melanggar pokok.
“Kejadian itu menyebabkan seorang guru dan tiga murid cedera ringan dan dihantar ke Hospital Serdang untuk rawatan lanjut, manakala guru dan murid lain selamat.
“Tiga mangsa kanak-kanak itu terhantuk di bahagian kepala dan mereka mendapat rawatan pesakit luar, manakala guru pengiring menerima jahitan di kepala dan sudah keluar dari hospital,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Katanya, kes masih dalam siasatan lanjut mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 manakala pemandu bas berkenaan ditahan serta akan direman esok.
Terdahulu, video rakaman video kamera papan pemuka (dashcam) memaparkan kemalangan itu turut tular di media sosial.
Dalam pada itu, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang meminta kerjasama orang ramai untuk menyalurkan sebarang maklumat jenayah dengan menghubungi IPD Serdang di talian 03-80742222 atau mana-mana balai polis berhampiran.
© New Straits Times Press (M) Bhd