June 14, 2024

Bas terbalik di Jawa Barat ragut 11 nyawa, puluhan cedera


JAKARTA – Sekurang-kurangnya 11 orang terbunuh dan puluhan cedera apabila bas persiaran yang dinaiki mereka terbalik di jalan berbukit di Subang, Jawa Barat, pada petang Sabtu.

Kemalangan itu berlaku berhampiran kampung Palasari di mukim Ciater kira-kira 6.45 petang waktu tempatan ketika bas yang membawa pelajar sekolah menengah itu pulang ke Depok dari Bandung selepas majlis perpisahan.

Jurucakap Polis Jawa Barat, Pesuruhjaya Jules Abraham Abast dalam satu kenyataan pada Ahad, menyatakan, identiti si mati masih belum disahkan manakala jumlah mangsa masih dikemas kini.

“Kami sedang menjalankan beberapa siri siasatan dan pengumpulan data di tempat kejadian,” tambah Jules.

Media tempatan melaporkan antara 11 mangsa yang maut ialah seorang penunggang motosikal, seorang guru dan sembilan pelajar.

Mereka yang cedera mengalami kecederaan parah dan ringan dan dikejarkan ke hospital dan pusat kesihatan berhampiran untuk rawatan.

Ketua Agensi Pengangkutan Daerah Subang, Asep Setia Permana menjelaskan bahawa bas itu sepatutnya menuju ke Tol Cipali di Subang.

Namun, dia mengesyaki kegagalan brek mungkin menyebabkan hilang kawalan yang membawa kepada kemalangan tragis itu. – Bernama



Source link

OR

Scroll to Top