Basikal trek, badminton berpotensi kutip emas pertama di Paris

Basikal trek, badminton berpotensi kutip emas pertama di Paris


KUALA LUMPUR: Badminton dan berbasikal trek berpotensi menjelmakan emas buat Malaysia pada Sukan Olimpik Paris 2024, hujung Julai ini.

Menurut Ketua Kontinjen (CDM) ke Paris Datuk Hamidin Mohd Amin berkata ianya berdasarkan prestasi semasa atlet berkenaan dalam beberapa siri kejohanan dan temasya Sukan Olimpik edisi sebelum ini.

Hamidin mendedahkan atlet terbabit disandarkan menerusi Datuk Azizulhasni Awang dari sukan berbasikal trek, Aaron Chia-Soh Wooi Yik (beregu lelaki) dan Lee Zii Jia (perseorangan lelaki) pada temasya empat tahun sekali itu.

“Kalau nak dikatakan semua atlet ada peluang dapatkan emas. Namun dari segi prestasi dan fakta, mereka ini (empat atlet terbabit) nama-nama yang berpotensi untuk membawa pulang kilauan emas.

“Bagaimanapun, tidak mustahil atlet dari sukan lain mampu mencipta kejutan di Paris nanti,” kata Hamidin ketika ditemui pemberita di Majlis Sukan Negara (MSN), semalam.

PERENANG Negara, Tan Rouxin (kanan) dan Khiew How Yean sedang giat menjalani sesi latihan sebelum berlepas ke Paris.

Terdahulu, Hamidin bersama Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli hadir ke Majlis Bacaan Yasin dan Solat Hajat di Surau Al-Faizin MSN, semalam.

Sementara itu, Hamidin menambah bahawa atlet muda mampu memperbaharui catatan rekod peribadi masing-masing menjelang di Bumi Paris nanti.

“Saya bercakap secara peribadi terutamanya yang meraih menerusi wildcard. Sekurang-kurangnya mereka perlu mendapatkan kedudukan yang jauh lebih baik ketika di Paris nanti.

“Sebagai contoh, Muhammad Azeem Fahmi kalau dapat mencatat masa yang terbaik di Paris itu satu pencapaian yang baik selain meraih emas,” ujar Hamidin.-UTUSAN





Source link

OR

Scroll to Top