am@hmetro.com.my
Jerantut: “Keadaannya masih belum pulih sepenuhnya, kini kami teruskan dengan rawatan rawatan fisioterapi.” kata Husna Abdul Hamid, 36 berhubung suaminya, Pegawai Pejabat Perkhidmatan Veterinar Jerantut, Mohamad Basri Ibrahim, 49.
Mohamad Basri sebelum ini koma hampir sebulan selepas rebah ketika melancong ke Ho Chi Minh, Vietnam sebelum dibawa pulang ke kediamannya di Kampung Bukit Dinding di sini.
Husna berkata, Mohamad Basri kini terlantar dan masih belum boleh bercakap secara lancar.
“Dia menerima rawatan fisioterapi di rumah setiap hari. Dia masih tidak boleh bergerak dan berdiri selepas dibawa pulang 1 November lalu.
“Suami sudah mula kenal semua ahli keluarga dan boleh bercakap sedikit-sedikit. Alhamdulillah ada kemajuan dan saya yakin suami akan pulih seperti biasa suatu hari nanti,” katanya ketika ditemui di rumahnya, hari ini.
Mohamad Basri dilaporkan koma 17 September lalu dan dirawat selama sebulan di Unit Rawatan Rapi (ICU) di sebuah Hospital di Ho Chi Minh.
Husna kini hamil lapan bulan selepas 15 tahun mendirikan rumah tangga dengan Mohamad Basri, turut bersyukur kerana suaminya dapat dibawa pulang ke tanah air.
“Terima kasih semua kepada semua penyumbang dan mendoakan kesihatan suami saya
“Doakan juga saya dipermudahkan melahirkan anak pertama kami,” katanya.
Penderitaan keluarga terbabit turut mendapat perhatian Kerajaan Pahang dan menyumbang RM30,000 untuk kos perubatan Mohamad Basri.
Sumbangan disampaikan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Pahang, Datuk Sabariah Saidan, semalam.
© New Straits Times Press (M) Bhd






