am@hmetro.com.my
Johor Bahru: Tindakan membatalkan lesen perniagaan bazar Ramadan atau Bazar Aidilfitri akan diambil ke atas mana-mana peniaga bazar itu yang didapati daripada kalangan warga asing.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, ia termasuk sekiranya pihaknya mendapati berlaku isu ‘sewa atas sewa’ membabitkan peniaga warga asing.
“Seperti saya maklumkan sebelum ini, kita tidak mengeluarkan lesen bazar kepada peniaga asing dan juga jika ada sewa atas sewa, kita akan batalkan lesen itu dengan segera,” katanya ketika ditemui selepas membuat tinjauan hari pertama Bazar Ramadan di Bandar Baru Uda di sini, petang semalam.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Mohd Hairi Mad Shah dan Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Mohd Haffiz Ahmad.
Pada masa sama, Mohd Jafni berkata, pihaknya tidak menghalang kreativiti peniaga dalam berniaga, namun perlu mematuhi garis panduan kebersihan yang ditetapkan.
Dalam memastikan semua peraturan dipatuhi peniaga bazar, Mohd Jafni berkata, pihaknya mendapat kerjasama daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
“KKM akan bertindakan memastikan peniaga ini mematuhi peraturan dari segi penyediaan makanan mereka termasuk pengambilan suntikan thypoid dan sebagainya, manakala KPDN akan memantau dari segi kawalan harga di bawah Akta Antipencatutan 2011.
“Sebenarnya penganjur bazar sudah tahu garis panduan yang sudah ditetapkan di PBT (pihak berkuasa tempatan) yang perlu mereka patuhi, tetapi KKM dan KPDN akan sentiasa buat pemantauan dan pemeriksaan, jika mereka tidak patuhi peraturan, tindakan akan diambil ke atas mereka,” katanya.
Mohd Jafni berkata, tahun ini, secara keseluruhannya, sebanyak 12,757 petak jualan bagi Bazar Ramadan dan Bazar Aidilfitri diluluskan kerajaan negeri di 228 lokasi di seluruh kawasan 16 pihak berkuasa tempatan (PBT).
Katanya, ia membabitkan 11,202 petak jualan di 200 lokasi bagi Bazar Ramadan dan 1,555 petak di 28 lokasi bagi Bazar Aidilfitri.
“Ini menunjukkan terdapat peningkatan sebanyak kira-kira tiga peratus berbanding jumlah tahun lalu,” jelasnya.
Tamat
From: Izlaily
© New Straits Times Press (M) Bhd