Di sebalik kehidupan yang tampak sempurna, tersembunyi bisikan hati yang mampu menggugat kesetiaan dalam drama Bisik Asmara yang bakal menemui penonton bermula 21 Januari hingga 10 Februari 2026, setiap Isnin hingga Khamis, jam 10.00 malam di slot Samarinda TV3, atau menerusi platform penstriman iQIYI.
Ditayangkan dalam 20 episod, Bisik Asmara terbitan Saphire Screen ini menampilkan gandingan mantap Zul Ariffin, Sophia Albarakbah dan Uqasha Senrose, diarahkan oleh Jamal Khan dengan skrip nukilan Rozie Rashid dan Zakinah Ab Zarith.
Bisik Asmara mengisahkan Noreen (Uqasha Senrose), seorang wanita berdikari dan berkerjaya yang hidupnya kelihatan teratur, namun dibelenggu kesunyian yang semakin mendalam.
Kehidupannya mula berubah apabila Farhan (Zul Ariffin), rakan sekerja yang berdepan masalah tempat tinggal, menyewa rumah bersebelahan.
Farhan pula menjalani perkahwinan jarak jauh bersama isterinya, Sheila (Sophia Albarakbah), yang memilih menetap di kampung demi menjaga ibunya, Umi (Ruminah Sidek), yang uzur dan menghidap demensia. Terperangkap antara tanggungjawab sebagai suami dan keperluan emosi sebagai manusia, kehadiran Farhan perlahan-lahan mencetuskan perasaan yang tidak sepatutnya.
Hari demi hari, hubungan Noreen dan Farhan semakin rapat, bermula tanpa niat, namun akhirnya berubah menjadi permainan emosi, obsesi dan pengkhianatan perasaan. Dalam masa sama, Sheila yang berkorban demi keluarga mula menyedari ada sesuatu yang tidak kena, membuka ruang kepada konflik yang semakin meruncing dan keputusan sukar yang bakal mengubah hidup mereka bertiga.

Ketika disoal mengenai watak Farhan dalam Bisik Asmara ini, Zul Ariffin berkata, watak Farhan sangat dekat dengan realiti kehidupan.
“Ramai lelaki bergelut antara tanggungjawab sebagai suami dan keperluan untuk difahami sebagai manusia. Drama ini bukan untuk menghakimi, tetapi membuka ruang perbincangan. Kadang-kadang bukan cinta yang salah, tetapi pilihan yang kita buat ketika hati sunyi,” katanya.
Lebih daripada sekadar kisah cinta terlarang, Bisik Asmara mengangkat realiti kesunyian dalam perkahwinan, keperluan emosi yang terabai serta akibat apabila batas perasaan dilanggar. Dengan penceritaan matang, konflik psikologi yang mendalam dan lakonan berkesan, drama ini menjanjikan pengalaman tontonan yang mencengkam serta dekat dengan realiti kehidupan moden.
Jangan lepaskan peluang menyaksikan Bisik Asmara, bermula 21 Januari 2026, setiap Isnin hingga Khamis, jam 10 malam di slot Samarinda TV3. Episod baharu turut boleh ditonton secara eksklusif di iQIYI, satu jam selepas siaran televisyen.
Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini, ikuti TV3 di Facebook, X, YouTube dan Instagram @TV3Malaysia, serta Instagram rasmi Drama Sangat di @dramasangat.






