SEGELINTIR orang mungkin tidak mengambil pusing tentang jenis pekerjaan yang dilakukan asalkan mendatangkan duit tanpa menghiraukan soal halal dan haram.
Lebih membimbangkan apabila ada yang sanggup mengungkapkan ‘Kalau hendak kaya zaman sekarang ini, halal haram tolak tepi dulu’.
Benar, semua orang perlu bekerja demi kelangsungan hidup. Namun, berhati-hatilah dengan ungkapan sedemikian kerana ia bertentangan dengan syariat Islam.
Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) mengingatkan, perkara itu adalah haram kerana menyimpang daripada landasan Islam yang sebenar. Agama suci itu menggariskan kewajipan umatnya untuk mencari rezeki yang halal dan diberkati.
“Ingatlah, kekayaan tidak menjamin kebahagiaan hakiki setiap insan. Realitinya, kita melihat betapa ramai orang kaya, tetapi tidak menikmati ketenangan dan kebahagiaan.
“Ada orang memiliki harta banyak, tetapi sayangnya tidak terdapat unsur keberkatan padanya, malah semakin hari, semakin jauh daripada rahmat ALLAH SWT,” katanya sebagaimana dipetik menerusi teks khutbah Jumaat bertajuk Mencurah keringat, meraih berkat yang disediakan oleh Bahagian Pengurusan Masjid, JAIM minggu lalu.
APA jua pekerjaan dilakukan, bekerjalah ikhlas kerana ALLAH dengan disulami sifat amanah serta berintegriti. -Foto: CANVA
Perkara itu turut digambarkan dalam sebuah hadis masyhur.
Rasulullah SAW bersabda dalam hadis panjang: “Kemudian beliau menceritakan seorang lelaki yang melakukan perjalanan jauh (lama), tubuhnya diliputi debu lagi kusut, dia menadah tangannya ke langit dan berdoa ‘Ya Tuhanku! Ya Tuhanku!’, akan tetapi makanannya haram, minumannya haram dan ia diberi makan dengan yang haram. Maka bagaimana mungkin doanya dikabulkan?” (Hadis Riwayat Muslim)
Melihat maksud hadis itu, jelas bahawa rezeki bukan diukur dari segi kuantiti yang diperoleh, tetapi keberkatannya.
“Sebaliknya, bagaimana kita memanfaatkannya dalam menghasilkan pekerjaan,” jelas khatib.
Jaga batas
Dalam kesibukan mencari rezeki dan nafkah, khatib mengingatkan supaya menjaga batas-batas yang digariskan oleh syarak.
Akhir-akhir ini, ramai pempengaruh di media sosial mencipta kandungan yang menyalahi hukum agama seperti berpakaian mencolok mata, berperilaku bertentangan dengan akhlak Islam dan melontarkan kata-kata yang menyentuh sensitiviti akidah.

DALAM kesibukan mencari rezeki dan nafkah, jagalah batas-batas yang digariskan oleh syarak seperti tidak berpakaian mencolok mata, berperilaku bertentangan dengan akhlak Islam dan melontarkan kata-kata yang menyentuh sensitiviti akidah. -Foto: CANVA
“Bagi mereka, asalkan banyak tontonan, ramai orang melihat dan membuat tanda suka serta berkongsi kandungan, keuntungan dapat diraih.
“Kalau begitulah keadaannya, di manakah keberkatan hasil keringat yang diperoleh?,” soal khatib.
Sabda Rasulullah SAW: “Akan datang suatu masa pada umat manusia, mereka tidak lagi peduli dengan cara untuk mendapatkan harta sama ada melalui cara yang halal ataukah dengan cara yang haram.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari)
JAIM menegaskan, ia bersesuaian dengan peribahasa ‘Laksana mencari sungai yang tiada berhulu’ yang membawa maksud berusaha berusah payah, tetapi akhirnya sia-sia.
“Masakan tidak, sia-sialah usaha yang tidak berguna untuk dibawa sebagai bekalan di akhirat kelak.
“Ingatlah, setiap sekecil-kecil usaha pun akan dinilai di sisi ALLAH SWT,” pesan khatib.
Kerja suatu ibadah
Ketahuilah bahawa bekerja ialah satu bentuk ibadah apabila ia dilakukan kerana ALLAH SWT dan bertujuan untuk memperoleh keredaan-NYA sebagai bekalan akhirat.
Untuk mencapai matlamat itu, JAIM menekankan keperluan membudayakan nilai integriti, ketelusan dan menghasilkan kerja serta perkhidmatan yang cemerlang.

BEKERJA ialah satu bentuk ibadah apabila ia dilakukan kerana ALLAH SWT dan bertujuan untuk memperoleh keredaan-NYA sebagai bekalan akhirat. -Foto: CANVA
“Marilah kita bermuhasabah dengan mengutamakan keberkatan dalam rezeki dan ditanamkan di dalam hati, di mana kita mencurahkan keringat, di situlah kita mengharapkan keberkatan,” katanya.
Terdapat tiga konsep yang perlu diterapkan dalam kehidupan seperti berikut:
1. Mencari rezeki yang halal dan baik.
Perkara itu bertepatan dengan kata-kata Syeikh Said bin Ali bin Wahf Al-Qahtani yang menyatakan bahawa ‘Rezeki yang baik ialah rezeki yang halal’.
2. Banyakkan berdoa agar rezeki diperoleh mendapat keberkatan ALLAH SWT.
Antara doa yang dianjurkan ialah: Allahumma inni as aluka ‘ilman nafi’an wa rizqan tayyiban wa’amalan mutaqabbala (Ya ALLAH, aku mohon kepada-MU ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima).
3. Elakkan perkara sia-sia.
Contohnya termasuk tidak amanah, menipu, menganiaya atau terlibat dengan rasuah.
Justeru, JAIM mengajak umat Islam untuk menyelami pepatah ‘Bekerjalah untuk duniamu seakan-akan kamu hidup selamanya, beramallah untuk akhiratmu seakan-akan kamu akan mati esok’.

DALAM kesibukan mencari rezeki, hendaklah kita bersungguh-sungguh dan jangan sampai melupakan akhirat yang kekal abadi. -Foto: CANVA
“Kata-kata itu mengajak kita untuk melakukan sesuatu pekerjaan dengan bersungguh-sungguh sama ada dalam urusan dunia atau akhirat.
“Disebabkan itulah dalam kesibukan mencari rezeki, hendaklah kita bersungguh-sungguh dan jangan sampai melupakan akhirat yang kekal abadi,” titip khatib.
*Teks khutbah Jumaat disediakan oleh Bahagian Pengurusan Masjid, Jabatan Agama Islam Melaka dan diterbitkan melalui laman sosial Facebook jabatan berkenaan