KUCHING- Batik Air bakal melancarkan 10 penerbangan mingguan antara Kuala Lumpur dan Bintulu bermula 1 Nov ini, selain 14 penerbangan mingguan antara Miri dan Kuala Lumpur bermula 14 Jan 2025.
Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Seri Lee Kim Shin berkata jadual baharu itu, dimaklumkan semasa pertemuannya dengan Ketua Pegawai Eksekutif Batik Air Datuk Chandran Rama Muthy di Kuala Lumpur pada Isnin.
“Inisiatif ini merupakan langkah penting dalam meningkatkan akses ke Sarawak selain melancarkan perjalanan bagi penumpang. Laluan baharu ini dijangka memperkukuh hubungan antara Semenanjung Malaysia dan Sarawak, menjadikan perjalanan lebih mudah untuk meneroka tarikan unik di rantau ini,” kata Lee dalam kenyataan hari ini.
Lee berkata laluan terus ini penting dalam mempromosikan perjalanan perniagaan, pelancongan dan pergerakan kargo udara, sambil membuka peluang baharu untuk pertumbuhan ekonomi, terutamanya di kawasan seperti Bintulu dan Miri, yang sudah menjadi pusat aktiviti industri.
“Dengan perpindahan Ibu Pejabat Shell ke Miri, Sarawak menyasarkan menarik lebih ramai pelawat dan pelabur, sekali gus menyumbang kepada pembangunan jangka panjang negeri ini dalam pelbagai sektor,” katanya.
— BERNAMA